Perlembagaan dan kepelbagaian etnik

 Perlembagaan dan kepelbagaian etnik

Rakyat Malaysia haruslah mengenali dirinya, atau jati diri dan identitinya secara agak mendalam, berpandukan kepada Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan negara kita telah memperuntukkan banyak perkara mengikut kesesuaian rakyat negara ini yang terdiri dari kepelbagaian agama dan budaya, serta etnik dan kaum.  Salah satu peruntukan yang utama ialah Islam adalah agama Persekutuan, namun peruntukan ini juga memberi jaminan bahawa agama-agama lain bebas diamalkan di dalam negara ini secara aman dan harmoni. Peruntukan ini amat jelas memberikan perlindungan terhadap kekuatan agama Islam sebagai agama negara, di samping kedudukan agama-agama lain yang bebas diamalkan dalam keadaan aman dan damai.

Berdasarkan nilai-nilai kerohanian Islam yang amat universal dan sejagat, maka masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik dan agama, sebenarnya mempunyai jati diri yang juga sejagat dan universal, iaitu dalam penghayatan nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat negara ini yang membentuk sifat dan sikap toleransi, hormat menghormati, bantu membantu, memperkasakan sistem kekeluargaan, taat kepada pemerintah dan sebagainya.

Inilah juga sebenarnya jati diri Islam yang menjadi amalan orang Islam di Malaysia ini, dan menjelma menjadi perkara yang lumrah di dalam masyarakat bukan Islam. Orang-orang bukan Islam juga sebenarnya merasa selesa dengan peruntukan perlembagaan tentang agama Islam dan agama lain. Hal ini merupakan persetujuan tiga kaum terbesar ketika memperjuangkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu kaum Melayu, Cina dan India,  ketika kerajaan mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Diraja yang dibentuk untuk merangka draf perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) yang dipengerusikan oleh Lord Reid.

Hal ini menjadi lebih terperinci kerana Perlembagaan negara memperuntukkan tentang hal ehwal agama dan amalannya secara jelas, demikian juga tentang dasar Bahasa Kebangsaan dan beberapa perkara lain yang merupakan ciri-ciri penting pembentukan negara bangsa Malaysia. Oleh itu, dalam konteks ini, rakyat Malaysia haruslah mengenali dirinya, atau jati diri dan identitinya secara agak mendalam, berpandukan kepada Perlembagaan Malaysia, dan dasar-dasar negara, yang dirangka dari masa ke semasa berasaskan Perlembagaan tersebut, iaitu jati dirinya sebagai etnik yang tertentu dan sebagai warga negara Malaysia yang mempunyai haknya sendiri, dan tidak mungkin bagi satu etnik itu merasa tergugat haknya dengan peruntukan Perlembagaan negara.

Kekuatan Malaysia dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia umumnya adalah berdasarkan kepada kestabilan sosial, ekonomi dan politik negara. Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara kita telah mengamalkan perkongsian kuasa dalam merangka dasar ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran dan sebagainya. Golongan minoriti, walau sekecil mana sekali pun, tetap mempunyai suara dalam negara dan mempunyai peluang yang tertentu, serta dilindungi oleh undang-undang.

Contoh kesatuan kaum dari sudut agama dan budaya masyarakat Malaysia amatlah jelas dan menonjol, iaitu umpamanya semua warga negara dari semua kaum mendapat cuti rasmi ketika tiba hari-hari perayaan agama, sama ada perayaan agama sendiri, atau perayaan agama rakyat Malaysia yang lain. Masing-masing bebas merayakan hari perayaan agama mereka mengikut lunas-lunas perundangan dan budaya, bebas menggunakan tempat-tempat ibadat mereka, mengekalkan nama asal, dan kebebasan lain yang mencerminkan kepelbagaian anutan agama, budaya, adat istiadat, bahasa dan corak hidup mereka sendiri.

Prinsip perundangan dan perlaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad lamanya di negara kita seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum, kerana perlaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Kontrak sosial tentang kuat kuasa Perlembagaan ini adalah merupakan persetujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya. Oleh itu amatlah malang sekali jika terdapat pihak-pihak yang cuba menafikan tentang wujudnya kontrak sosial ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan dulu, atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai satu wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini.

Segala fakta di dalam pemerintahan negara kita seperti yang telah dipersetujui bersama haruslah difahami oleh generasi lama dan baharu, dan hal ini haruslah sentiasa dibangunkan kesedarannya, termasuk para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, malah ketika negara telah pun mengakui kedudukan umur 18 tahun merupakan umur rakyat anak negara yang membolehkannya menyertai urusan politik negara maka hal ini haruslah didedahkan kepada mereka supaya benar-benar difahami kandungan dan perlaksanaannya dalam keadaan harmoni dan aman damai.

Masanya amat wajar ketika kita dalam persiapan menyambut bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan negara kita, dan bulan September sebagai bulan penubuhan Malaysia, bagi kita menjalankan gerakan dan kempen secara yang boleh menyedarkan semua lapisan rakyat tentang kedaulatan negara ini, dan kualiti warga negaranya yang bermutu dan berwibawa.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *