Perkukuhkan persahabatan Iran-Malaysia menerusi diplomasi makanan dan budaya

 Perkukuhkan persahabatan Iran-Malaysia menerusi diplomasi makanan dan budaya

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Kedutaan Iran di Kuala Lumpur menyambut Tahun Baru Iran, Nowruz, pada Isnin dengan memfokuskan kepada pertukaran budaya dan diplomasi makanan antara Iran dan Malaysia.

Dalam acara yang dipenuhi dengan juadah Iran yang enak, Duta Iran ke Malaysia Ali Asghar Mohammadi menekankan pentingnya inisiatif pertukaran budaya sambil menggambarkan kedua-dua negara menyatukan budaya dengan kepelbagaian makanan.

“Sebenarnya, makanan selalu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat sejak zaman kuno. Inilah cara kita saling mengenali, berkawan, mengeratkan hubungan, meraikan pencapaian bahkan memulihkan konflik,” katanya kepada wartawan pada acara itu.

Acara itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran chef selebriti terkenal dan Duta Makanan Tourism Malaysia, Datuk Dr Redzuawan Ismail, yang terkenal dengan gelaran Chef Wan.

Chef terkenal itu melakukan percubaan membuat Kebab Biri-biri Iran pada penyucuk seperti sate, satu cabaran yang hanya mampu dilakukan chef yang mahir dan berkaliber.

“Ini bukan perkara mudah, ia memerlukan latihan dan pengalaman bertahun-tahun, tetapi ini bukanlah percubaan saya yang pertama,” sambil menambah beliau amat menggemari juadah Iran kerana banyak menggunakan rempah ratus, buah-buahan dan kacang tanah.

Bufet makan malam yang disediakan mengandungi pelbagai juadah enak pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut. Antaranya stew, ayam panggang dan kebab biri-biri, nasi dan pilihan vegetarian.

Nowruz (juga dieja Norouz, Norooz, Navruz, Nauryz dan beberapa variasi lain), perayaan paling digemari dalam semua festival Iran dan percutian penting di Asia Tengah, Balkan, Caucasus, Timur Tengah dan kawasan lain.

Perayaan tradisional itu disambut pada hari pertama musim bunga atau Vernal Equinox, yang biasanya berlaku pada 21 Mac.

Sementara itu, mengenai pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan, Ali Asghar yakin industri ini akan bangkit kembali ke tahap pra-pandemik setelah program vaksinasi dilancarkan di kedua-dua negara.

“Dalam beberapa bulan akan datang setelah COVID-19 ini berjaya ditangani, mungkin ribuan orang Iran ingin mengunjungi Malaysia sekali lagi. Keindahan alam, budaya, makanan, terdapat banyak sebab mengapa pelancong mahu datang ke Malaysia,” katanya.

Ali Asghar berkata, Kedutaan Iran juga sedang menyusun program untuk mempromosikan sektor pelancongannya untuk rakyat Malaysia.

“Pada 2018 dan 2019, jumlah (pelancong) meningkat dan kami sangat gembira melihat ribuan rakyat Malaysia mengunjungi Iran, tetapi sayangnya ia tergendala, kerana COVID-19,” katanya.

Hari Antarabangsa Nowruz, yang dimasukkan dalam Senarai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai tradisi budaya yang dirai lebih 300 juta orang di seluruh dunia sejak 3,000 tahun lalu.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  −  83  =