Perkeso Terus Perkasa Pengurusan Hilang Upaya Di Malaysia,105 Anggota Berjaya Terima Pensijilan Profesional CDMP

 Perkeso Terus Perkasa Pengurusan Hilang Upaya Di Malaysia,105 Anggota Berjaya Terima Pensijilan Profesional CDMP

PUTRAJAYA – Seramai 105 anggota Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menerima pensijilan professional, sekaligus ditauliahkan sebagai Certified Disability Management Professional (CDMP), hari ini.


Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen dan aspirasi PERKESO sebagai sebuah agensi di
bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk melahirkan lebih ramai pengamal pengurusan
hilang upaya yang kompeten dan berkualiti di negara ini, setanding dengan pengamal pengurusan
hilang upaya di peringkat antarabangsa.


Penyampaian sijil CDMP tersebut telah diadakan dalam satu Majlis Graduasi CDMP 2021 yang telah
disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan. Turut hadir, YBrs. Tuan A. Maniam, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KSM), YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor, Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed,Ketua Eksekutif PERKESO.


Penerima pensijilan profesional tersebut juga merupakan anggota PERKESO yang telah lulus dan berjaya dalam peperiksaan CDMP bagi sesi 2020. Mereka terdiri daripada anggota dengan pelbagai jawatan seperti Pengurus Pejabat, Pegawai Perubatan, Pengurus dan Penolong Pengurus Kes, Pegawai Tadbir dan Eksekutif, Fisioterapi, Pegawai Terapi Pekerjaan, dan Pegawai Latihan Vokasional dari 54 pejabat PERKESO di serata negara.


Sejak 2010, seramai 252 pengamal pengurusan hilang upaya terdiri daripada peserta dari Malaysia dan Indonesia telah berjaya ditauliahkan dengan pensijilan CDMP dan Certified Return To Work Coordinator (CRTWC). Program kelolaan Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya yang bertindak sebagai Test Agency.

“Saya juga ingin mengajak pegawai-pegawai di bawah KSM untuk sama-sama terlibat membantu rakyat khususnya dalam bidang upaya dengan mendapatkan pensijilan CDMP yang dijalankan PERKESO. Semoga dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih ramai lagi rakyat Malaysia khususnya kakitangan awam dan swasta mendapatkan pensijilan professional ini,” tegas Datuk Seri M. Saravanan.


CDMP merupakan pensijilan yang diperkenalkan oleh National Institute of Disability Management and Research (NIDMAR) Canada untuk membantu mereka yang mengalami bencana seperti kemalangan untuk kembali atau kekal bekerja. Disamping itu, PERKESO selaku peneraju perlindungan keselamatan sosial negara turut diberikan mandat untuk menawarkan pensijilan berkenaan di negara ini dan di rantau Asia Tenggara menerusi modul latihan, amali dan peperiksaan kepada para pengamal pengurusan hilang upaya.


Pada majlis yang sama, turut berlangsung majlis penyampaian Anugerah Pengurus Kes Terbaik bagi Program Return To Work (RTW) PERKESO dan Forum Pengurusan Hilang Upaya yang membariskan panel pakar dalam pelbagai sektor dari dalam dan luar negara.


Sementara itu, sejak mula diperkenal pada tahun 2007 sehingga 30 November 2021, Program RTW PERKESO telah membantu seramai 63,654 peserta yang terdiri daripada pencarum PERKESO.


Daripada jumlah tersebut, seramai 41,200 peserta telah berjaya dibantu kembali bekerja. Program RTW PERKESO yang menggunapakai konsep pengurusan hilang upaya dengan pendekatan multidisiplin dan biopsikososial (biologi, psikologi, dan sosial) ini adalah uni kerana ia memastikan perkhidmatan pemulihan dilaksanakan secara menyeluruh agar Orang Berinsurans (OB) dapat dipulihkan dan selamat untuk kembali bekerja.


PERKESO menyeru lebih ramai majikan terutamanya dalam bidang kesihatan mengambil pensijilan CDMP agar tindakan pantas dapat diambil terhadap mana-mana pekerja yang terlibat dalam kemalangan atau menghidap penyakit dapat dibantu untuk kembali bekerja dan berjalan lancar. Pendaftaran boleh dilakukan dengan melayari pautan https://rtwsocso.perkeso.gov.my.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  2  =