Perikatan Nasional junjung titah Yang di-Pertuan Agong

 Perikatan Nasional junjung titah Yang di-Pertuan Agong

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kredit foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Kerajaan mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk kerajaan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka Baginda mengenai perlaksanaan sidang Parlimen serta beberapa perkara lain.

Ia termasuk perjalanan pengurusan pandemik COVID-19, penguatkuasaan ordinan-ordinan darurat, perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 kebangsaan, pakej ransangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, serta Pelan Pemulihan Negara.

Dalam kenyataan tersebut Pejabat Perdana Menteri memberi jaminan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negara.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata Perdana Menteri, sebelum ini telah memberi jaminan bahawa Parlimen akan tetap bersidang namun bergantung kepada situasi semasa.

“Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri selaku ketua majlis telah menyatakan beberapa hari yang lalu bahawa Parlimen akan bersidang… kita tidak pernah menyatakan Parlimen tidak bersidang.

“Tetapi selaku ketua majlis beliau Perdana Menteri) bertindak mengikut peruntukan undang-undang, Perlembagaan dan juga standing order dalam Parlimen dan mengikut masa yang bersesuaian untuk adakan (sidang).

“Bagi saya titah Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk adakan sidang Parlimen dalam masa yang sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan,” kata Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *