• Sunday, 20 June 2021, 2:20 pm

Perikanan tumpu pembangunan industri, usahawan betta

 Perikanan tumpu pembangunan industri, usahawan betta

Laporan Kedua (Akhir)

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Jabatan Perikanan sentiasa memberikan sepenuh perhatian terhadap pembangunan industri dan usahawan betta dari peringkat huluan hingga hiliran.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Tarmidzi Ramly berkata, antara program yang dilaksanakan Jabatan Perikanan bagi menyokong industri betta adalah melakukan pemindahan teknologi makanan hidup.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Encik Ahmad Tarmidzi Ramly.

Ini dilakukan menerusi penganjuran kursus berkaitan ternakan makanan hidup yang higenik dan secara intensif. Makanan hidup adalah sumber makanan utama untuk benih ikan betta namun pemberian makanan hidup Artemia memerlukan kos yang tinggi.

Oleh demikian, penternak memilih untuk memberi makanan hidup alternatif iaitu Moina dan Daphnia yang mudah diperolehi di kawasan perairan umum serta loji kumbahan. Sebaliknya, pengambilan Artemia di kawasan itu tidak higenik dan ternakan berisiko terdedah dengan penyakit.

“Jadi, inisiatif Jabatan Perikanan mengajar dan memperkenalkan teknologi ternakan Moina secara intensif dan higenik dapat mengatasi masalah ini sekali gus menjadikannya satu perniagaan,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata, program seterusnya ialah peningkatan kemudahan dan bantuan input untuk penternak akuakultur termasuk penternak betta berdaftar meliputi Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur dan Program Agropreneur Muda (UAM).

Menerusi program itu, penternak berdaftar yang memenuhi syarat diberikan bantuan seperti yang dipohon bergantung kepada peruntukan tahunan semasa.

“Program lain ialah pembangunan ikan laga asli Malaysia. Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, jabatan memberikan penekanan di dalam pembangunan spesies ini dengan menganjurkan Program Penghasilan Baka Ikan Asli Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap ikan di habitat asal dan program konservasi dengan mewujudkan Santuari Ikan Laga Asli,” katanya.

Sebuah pusat penternakan ikan betta di Kapar, Selangor.

Selain itu, program yang diatur umumnya untuk ikan hiasan termasuk betta adalah seperti pameran, pertandingan dan kesedaran. Jabatan Perikanan bekerjasama dengan Persatuan Ikan Laga Moden dan juga Persatuan Pencinta Ikan Laga Liar menganjurkan pertandingan dan pameran bagi menarik minat peminat dan orang awam sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Ditanya mengenai data negara pengimport, Ahmad Tarmidzi berkata, pada masa ini jabatan tidak mempunyai data lengkap berkaitan kerana jualan betta adalah secara dalam talian dan melalui pos.

“Namun begitu, kami sentiasa memberi nasihat dan penjelasan kepada penternak mengenai kepentingan untuk mengeksport ikan melalui saluran yang telah ditetapkan,” katanya.

Mengenai cara hendak mencapai matlamat menjadikan betta sebagai satu industri beliau berkata, sememangnya spesies itu telahpun menjadi satu industri penyumbang kepada pengeluaran ikan hiasan negara dan sumber pendapatan kepada penternak.

“Saya menyarankan supaya setiap penternak mengambil pendekatan untuk berdaftar dengan Jabatan Perikanan. Melalui program pendaftaran, setiap pengeluaran dapat direkodkan bagi peningkatan statistik pengeluaran dan nilai ikan hiasan negara.

“Selain itu, keperluan biosekuriti di setiap premis ternakan perlu diterapkan dan dipatuhi untuk memudahkan keperluan perdagangan dari negara pengimport. Ini juga untuk mengelakkan risiko jangkitan penyakit. Dengan adanya premis pengeksport yang mematuhi biosekuriti, penternak dapat mengeksport ikan hiasan melalui saluran yang betul. Data eksport dapat dijadikan statistik dan negara mendapat kredit sebagai negara utama pengeksport ikan hiasan terutama betta,” katanya.

Katanya, penyertaan penternak betta tempatan pada pameran ataupun pertandingan peringkat antarabangsa juga boleh menjadi satu faktor pengenalan Malaysia sebagai pemain industri betta yang utama.

“Melalui kemenangan di pertandingan peringkat antarabangsa, penternak atau peminat dari seluruh dunia akan tertumpu ke Malaysia kerana menghasilkan baka ikan yang terbaik,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *