Perhilitan selamatkan tapir betina masuk perangkap

 Perhilitan selamatkan tapir betina masuk perangkap

Oleh Nurman Nasyriq

MERSING, 1 Mei – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menyelamatkan seekor tapir betina yang masuk perangkap dipasang di Felda Tenggaroh 5, di sini Rabu lepas.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, perangkap itu dipasang pada 17 Februari lalu selepas pihaknya menerima aduan orang ramai yang melihat tapir tersebut berkeliaran di kawasan penempatan berkenaan.

“Kira-kira jam 8.30 pagi, Perhilitan Johor menerima aduan berkenaan seekor tapir telah masuk perangkap. Tapir itu seberat 300 kilogram.

“Seterusnya operasi menyelamat dijalankan 12 kakitangan Perhilitan daerah Mersing, Pusat Konservasi Hidupan Liar Jemaluang dan Santuari Gajah Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kerja-kerja memindahkan tapir dari dalam perangkap ke dalam kotak pemindah bermula pada jam 9.30 pagi dan selesai 20 minit kemudian.

Salman berkata, tapir tersebut kemudian dibawa ke Pejabat Perhilitan Mersing untuk diberikan rawatan oleh doktor veterinar jabatan.

Hasil pemeriksaan mendapati tapir tersebut sihat dan hanya mengalami luka-luka kesan melecet di bahagian kulit kepala yang tidak serius serta boleh dilepaskan ke habitat liar baharu.

“Seterusnya operasi pemindahan tapir dilakukan ke Taman Negara Endau Rompin pada hari sama bermula jam 9 malam dan selesai sepenuhnya pada jam 4 pagi semalam,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak dua ekor tapir telah mati dilanggar kenderaan di Johor pada tahun ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

90  −    =  84