PERDA tawar 138 hektar tanah untuk Projek Taman Agro Teknologi Pertanian

 PERDA tawar 138 hektar tanah untuk Projek Taman Agro Teknologi Pertanian

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong

GEORGE TOWN, 26 April — Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menawarkan tanah seluas 138 hektar untuk tempoh 10 tahun kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk dikawal selia bagi program “Food Security”.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata bagi tujuan itu Projek Perintis Taman Agro Pertanian PERDA akan dibangunkan di Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini menggunakan kaedah teknologi pintar dan terkini.

Beliau berkata tanah yang ditawarkan itu melibatkan kawasan sedia ada iaitu Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM I) seluas 59.5 hektar dan Kawasan Baru (TKPM II)  78.5 hektar, dengan JNPPP akan mengawal selia projek berkenaan.

“Program itu dijangka bermula pada Jun ini dan sekarang ini dalam proses mencari peserta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Projek Taman Agro Teknologi PERDA antara PERDA yang diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Rosman Hashim dan JPNPP yang diwakili Pengarah, Mohd Muhaimin Ibrahim.

Katanya menerusi MoU yang dimeterai hari ini, JPNPP akan menyediakan kemudahan infrastruktur serta sokongan teknikal, manakala pihak Perda akan menyediakan tanah untuk diusahakan oleh peserta terpilih.

Henry berkata kaedah pemilihan peserta untuk projek ini akan dibuat bersama PERDA serta JPNPP; dan peserta terpilih akan menandatangani perjanjian penyewaan bersama PERDA sebagai pemilik tanah.

Menurutnya beliau yakin kerjasama antara PERDA dan JPNPP menerusi MoU yang ditandatangani itu akan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta membangunkan kawasan pertanian moden.

“Projek ini juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta meningkatkan sosio ekonomi penduduk, peserta yang terpilih bakal mengusahakan tanaman kontan serta sayur-sayuran seperti halia dan lain-lain tanaman,” katanya.

Terdahulu Henry melawat beberapa projek PERDA, antaranya Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda Tech) di Bukit Panchor di Nibong Tebal dekat sini, Projek Perumahan Sejahtera Rakyat(PPSR) Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau dan Hotel Bahang Bay milik PERDA di Teluk Bahang.

Mengulas mengenai lawatan di Perda Tech, Henry berkata PERDA memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan juga kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan membantu belia dan graduan untuk meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mengikut keperluan industri.

Katanya Perda Tech menyediakan ekosistem lengkap bagi program pendidikan di bawah TVET yang merupakan instrumen utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran, inovatif dan berdaya saing kepada golongan muda Pulau Pinang.

“Perda Tech ketika ini menawarkan sebanyak program di peringkat sijil dan enam program di peringkat diploma, selain itu ia (Perda Tech) turut menawarkan Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (SAKSI) untuk pelajar yang tidak mempunyai tahap akademik mencukupi bagi membantu mereka memperoleh kemahiran TVET,” katanya.

Beliau berkata sejak ditubuhkan Disember 2007 hingga tahun lepas, 9,841 pelajar telah menerima sijil dan diploma di Perda Tech.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  66  =  75