Peranan besar PBT sediakan kehidupan urban yang selesa

 Peranan besar PBT sediakan kehidupan urban yang selesa

Mohd. Noorazam mengangkat angkat sumpah sebagai Datuk Bandar Johor Bahru Ke-13 di Menara MBJB, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU 29 Ogos — Peranan sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) kini amat besar dan luas terutamanya dalam menyediakan kehidupan urban yang selesa dan sejahtera kepada warganya.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pada masa sama, PBT perlu membangunkan sebuah bandar raya yang lestari dan seimbang secara zahiriah dan rohaniah.

“Peranan-peranan ini termasuk menyediakan perkhidmatan perbandaran, perkhidmatan kesihatan awam dan alam sekitar, pembangunan sosio-ekonomi, perancangan bandar yang terkawal dan efisien, kutipan hasil yang konsisten serta menjalankan aktiviti pembangunan masyarakat.

“Dalam usaha untuk merealisasikan visi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menjadikan Johor Bahru sebuah bandar raya yang bertaraf antarabangsa, berbudaya dan lestari, perkhidmatan yang diberikan MBJB perlu berada pada tahap yang tinggi dan konsisten,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar MBJB Ke-13 di Menara MBJB, di sini hari ini.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menggantikan Datuk Adib Azhari Daud dan mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Mohd. Noorazam berkata, sekiranya perkhidmatan yang disediakan MBJB berada pada tahap yang baik, secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan para pembayar cukai terhadap PBT berkenaan.

“Dalam usaha berterusan untuk merancang kemajuan bandar raya ini, saya ingin memetik kata-kata penulis Stephen Covey, ‘we must always begin with the end in mind’.

“Mengambil inspirasi daripada kata-kata ini, kita seharusnya melaksanakan gerak kerja harian dengan sebuah hala tuju yang jelas untuk 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +    =  10