Peralatan, bekalan ubat tiba di Kota Kinabalu

 Peralatan, bekalan ubat tiba di Kota Kinabalu

Bekalan perubatan dan peralatan tambahan di hantar ke Sabah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – Foto Twitter Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Bekalan perubatan dan peralatan tambahan tiba di Kota Kinabalu, Sabah untuk menampung kelangsungan rawatan COVID-19 di negeri terbabit.

Keperluan yang dibawa menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu merangkumi 480 silinder oksigen dan regulator, selain 48 unit pemekat oksigen serta puluhan kotak berisi ubat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata penghantaran bekalan perubatan dan peralatan untuk menguruskan pesakit COVID-19 di Negeri di Bawah Bayu itu dibuat seperti yang dijanjikan kepada kerajaan Sabah sebelum ini.

“Terima kasih TUDM kerana menyediakan pengangkutan bagi menghantar bekalan perubatan dan peralatan untuk kegunaan Kerajaan Sabah serta rakyatnya,” katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, Khairy yang dalam rangka lawatan rasmi ke Sabah berkunjung ke Pulau Larapan, iaitu antara 49 pulau yang terletak di Semporna bagi tujuan libat urus Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Jelasnya, pendekatan pemberian suntikan vaksin CanSino, iaitu jenis satu dos sepanjang libat urus luar itu dibuat tanpa mengira latar belakang penerima.

“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan. Sebanyak 1,000 dos vaksin CanSino dibawa untuk libat urus luar PICK hari ini.

“Ramai yang tiada dokumen pengenalan rasmi tetapi DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) terus cucuk.

“‘No one is safe until everyone is safe’ (tiada yang selamat sehingga semuanya selamat),” katanya.

Berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), Semporna merekodkan 50 peratus daripada keseluruhan penduduk dewasa dilengkapi satu dos vaksin, manakala 44 peratus pula sudah lengkap suntikan imunisasi.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  5