Peraih ketam nipah popular di FB Page

 Peraih ketam nipah popular di FB Page

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUANTAN, 12 Feb: Usaha tangga kejayaan dan rezeki ada di mana-mana. Selepas berusaha maka yakin dan bertawakal semoga Allah melimpahkan rezekiNya kepada kita. Bagi Amin Ketam Nipah, yang semakin popular dalam FB Page, menjadi penangkap ketam dan peraih hasil laut sepenuh masa tidak menjadi isu.

Beliau yang nama sebenarnya Aminullah Mohamed, 35, memegang teguh pendirian ini – tabah dan sentiasa bersabar dalam melalui liku-liku kehidupan serta belajar daripada kesilapan.

“Biarlah kita ramai sahabat dan jangan bermusuhan,” katanya yang aktif dengan jualan ketam nipah dan hasil sungai secara online sejak 2017 menerusi Amin Ketam Nipah Live Channels.

Amin menangkap ketam sejak kecil pada awal 1990-an bersama ayahnya, Mohamed Deraman di kawasan paya Sungai Belat, Sungai Soi dan Sungai Kuantan dekat Kuantan. Lokasi sama terus beliau warisi dan teroka sehingga sekarang.

Sasaran di lokasi ialah ketam nipah, lokan dan udang galah selain ikan serta hidupan sungai lain. Tangkapan terbaik beliau ialah seekor ketam nipah seberat 1.2 kilogram dan dijual RM100.

Apa yang dijual di FB Page? “Ketam, udang galah, lokan dan semua hasil tangkapan nelayan. Dalam keadaan sekarang, hasil jualan online tidak menentu,” katanya yang muncul di skrin sekali sehari pada masa mengikut kesempatan beliau manakala pesanan dibuat pelanggan dari seluruh negara.

Ditanya pernahkah terserempak lembaga misteri, ular, buaya dan binatang merbahaya lain, Amin berkata, beliau tiada pengalaman tersebut kecuali selalu terserempak buaya.

Amin meredah paya dan membuat siaran menerusi Amin Ketam Nipah Live Channels bersama rakannya yang juga nelayan. Ditanya kalau ada pantang larang apabila turun ke sungai, beliau lebih banyak bertawakal kepada kepada Allah SWT. Lokasi yang  dijejaki bergantung kepada pasang surut air sungai manakala hasil yang dibawa pulang tidak menentu.

Anak jati  Kampung Belukar, Batu 3½, Gambang dekat Kuantan itu menggunakan beberapa kaedah tangkapan iaitu mengorek lubang, memasang bubu dan binto, menyuluh dan memasang pukat serta memasang bubu rawai. Turut dibawa ke lokasi ialah besi penyangkuk serta serampang.

Dengan hasil jualan ketam nipah itulah Amin menyara keluarga. Ketika ini, anak  sulungnya yang berusia 13 tahun adalah pelajar sekolah pondok.

Terdahulu, Amin mengakui ketam nipah semakin berkurangan kerana perubahan habitat di paya bakau dan pinggir sungai.

“Keadaan habitat semula jadi ini telah berubah dengan ketara,” katanya.

Sedikit mengenai latar belakang, Amin menyertai tentera pada 2004 dan dua tahun kemudian diserapkan ke pasukan para 10 Briged di Kem Terendak, Melaka. Beliau menamatkan perkhidmatan pada 2016 dan seterusnya berjinak-jinak dengan Facebook mulai 2017 dan memuat naik cerita jualan ikannya empat kali sehari. Hari ini Amin cukup popular dengan mempunyai 93,000 followers.

Sementara itu, video yang dipaparkan di sini ialah gelagat anak bongsunya, Aysar Ahnaf, berusia 17 bulan.

Related post

1 Comment

  • twebaekkkk be

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =