Perabot unik dan murah hasil kreativiti OKU

 Perabot unik dan murah hasil kreativiti OKU

Bengkel Pusat (Amal) Latihan dan Amali OKU Sabah di Kampung Baru Selaud, Tuaran.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

TUARAN, 12 Mac – Kemalangan jalan raya di Langkawi pada April 2017, mengubah kehidupan dan status Azman Saidin, 39, daripada seorang normal kepada Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus kehilangan pekerjaan sebagai pegawai keselamatan di pelantar minyak.

Kemalangan itu juga menyebabkan beliau mengalami tekanan dan kemurungan hampir dua tahun kerana tidak dapat menerima hakikat hampir semua asetnya hilang kerana tidak mampu membayarnya.

Namun, dua tahun kemudian beliau bangkit mengusahakan bengkel perabot menggunakan jenama Azman’s Pine Product yang dihasilkan daripada kayu pain diimport dari New Zealand dan menariknya pekerja beliau dalam kalangan OKU yang dilatih sendiri persatuan berkenaan.

Azman yang kini Pengerusi Pusat (Amal) Latihan dan Amali OKU, ketika ditemui Wacana.my di bengkel miliknya di Kampung Baru Selaud di sini, berkata anak perempuan tunggalnya menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan isterinya ketika melahirkan anak tujuh tahun lalu.

Azman Saidin

Katanya, peringkat awal banyak cabaran dihadapi termasuk kesukaran membuat pinjaman bank dan persepsi negatif insitusi kewangan terhadap golongan OKU terutama yang tiada pekerjaan.

Namun beliau tidak pernah mengalahkan dengan awalnya membuka Taman Pencinta Haiwan pada 2018 yang berkeluasan 0.2 hektar menempatkan lebih 50 ekor arnab, dua ekor monyet dan kongkang dan daripada taman itulah, perniagaan dikembangkan kepada pembuatan perabot.

Peringkat awal beliau yang mengalamai kecacatan pada bahagian kaki dan berjalan menggunakan tongkat berbekalkan modal RM500 untuk menghasilkan perabot seperti rak kasut, almari pakaian dan katil.

“Saya perlu berfikir jauh ke depan jika mahu bersaing dengan pengusaha perabot sedia ada, terutama dari segi reka bentuk, kreativiti pekerja, harga dan kayu digunakan

“Sebab itulah kami mengunakan kayu pain yang diimport dari New Zealand bersaiz tiga meter panjang yang mudah dipotong mengikut tempahan dan kehendak pelanggan,” katanya.

Azman berkata, keistimewaan kayu pain adalah mempunyai corak semula jadi yang unik serta memberi kelainan dan tarikan serta tidak perlu dicat, sebaliknya menggunakan syelek (varnish).

Harga perabot pula dijual jauh lebih murah berbanding di kedai perabot. Misalnya, ada almari dan set kerusi dan meja yang dijual RM1,500 di pasaran, boleh dibeli pada harga RM750 di bengkel berkenaan.

Tempahan perabot dari bengkel itu mula meningkat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu dan ditambah promosi melalui media sosial Facebook atas nama As Custiumania yang dilakukan beliau sejak awal 2019.

Katanya, sepanjang tahun lalu bengkel berkenaan mampu menjana pendapatan antara RM80,000 hingga RM100,000 membabitkan 290 item seperti katil, almari, set sofa, rak kasut, almari pakaian, kerusi, kabinet dapur dan perhiasan rumah.

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang perabot dijual pada harga murah adalah bengkel berkenaan tidak mengenakan bayaran upah tetapi hanya menjual perabot mengikut saiz yang ditempah pelanggan.

Azman Saidin (kiri) memberi tunjuk ajar kepada pekerja bengkelnya
yang mengalami kecacatan pada bahagian kaki.

“Bengkel kami yang turut dikenali sebagai pusat perabot murah di Sabah beroperasi pada November 2019 dengan mempunyai 22 pekerja termasuk OKU lembam berusia antara 20 dan 40-an dari Tuaran, Keningau, Tawau dan Kudat yang dilatih bertukang setiap hari oleh dua tenaga pengajar dari Keningau dan Tuaran,” katanya.

Golongan OKU yang dikategorikan mengalami masalah pembelajaran mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk dilatih secara amali berbanding sebulan hingga tiga bulan golongan normal, namun hasil kerja dan kreativiti mereka amat memuaskan berdasarkan maklum balas pelanggan.

Bengkel berkenaan juga tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran tetapi ada pihak yang akan membantu menghantar perabot kepada pelanggan atau pelanggan sendiri yang datang ke bengkel berkenaan.

Dalam pada itu, bengkel perabot berkenaan menghadapi cabaran besar tahun lalu apabla tiga kali dilanda banjir besar sehingga perabot mengalami kerosakan dengan kerugian keseluruhannya dianggarkan RM100,000.

“Namun ini tidak melemahkan semangatkan kami untuk terus bekerja dan membuktikan OKU adalah golongan yang mampu menyumbang kepada negara. Kami mahu menjadikan bengkel ini pusat rujukan serantau berhubung pembangunan modal insan golongan berkenaan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  70  =  74