Penyelewengan oleh pemimpin sering berlaku, rakyat makin bijak

 Penyelewengan oleh pemimpin sering berlaku, rakyat makin bijak

KUALA LUMPUR – Zaman ‘dominant party system’ seperti ketika Barisan Nasional (BN) menguasai keseluruhan sistem politik dan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan parti lain sekadar pembangkang yang lemah, sudah berlalu.

“Landskap politik kini berubah, susulan kemunculan gabungan parti-parti politik baharu di peringkat nasional dan wilayah, yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dan berjaya membentuk kerajaan.”Demikian tegas bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.

Jelas beliau, sistem politik tersebut pada awalnya dilihat mampu mewujudkan kestabilan politik dan memacu pembangunan pesat negara, namun lama-kelamaan, ia menjadi semakin berpusat kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan.

“Pada masa lalu, sistem ini dilihat mempunyai banyak kelemahan. Pemusatan kuasa berlaku dalam sebuah parti politik yang menyebabkan tidak ada semak dan imbang atau check and balance yang mencukupi dalam pentadbiran kerajaan yang diperintah oleh parti yang dominan.

“Segala keputusan hanya dibuat oleh pemimpin parti atau sebilangan orang yang menyokong pemimpin parti ini,” kata Muhyiddin, sambil menjelaskan, ahli-ahli parti di bawah sistem tersebut terpaksa akur dengan keputusan pemimpin, walaupun ia tidak semestinya betul.

Muhyiddin turut mendakwa penyelewengan dan pelanggaran undang-undang oleh pemimpin parti juga sering berlaku, tetapi dipandang sepi pimpinan parti yang lain.

“Lebih malang, ada pihak yang turut sama melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa kerana beranggapan mereka akan dilindungi selagi mana mereka menyokong pemimpin parti yang mendominasi kerajaan.

“Mereka fikir mereka boleh terlepas dan tidak akan dihukum. Kesannya, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah terus berlaku dengan berleluasa dan dihalalkan oleh pengikut parti,” katanya lagi.

Namun, Muhyiddin berkata, dalam dunia yang semakin pesat dengan kemajuan teknologi maklumat dan rakyat yang semakin bijak berfikir serta menilai, tidak ada parti politik yang boleh kekal berkuasa secara dominan selama-lamanya.

Apatah lagi, katanya, sekiranya parti itu mengabaikan prinsip integriti dan penanggungjawaban kepada rakyat.

“Saya percaya rakyat Malaysia bijak menilai dan mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang menggadaikan prinsip dan nilai integriti serta penanggungjawaban kepada rakyat,”katanya.

Irmamusliana Mustajab

emma@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *