Penutupan 26 taman eko rimba, hutan taman negeri Pahang dilanjut

 Penutupan 26 taman eko rimba, hutan taman negeri Pahang dilanjut

JPNP masih menutup sementara Taman Eko Rimba Sungai Pandan.

KUANTAN, 21 Sept — Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) masih melanjutkan penutupan sementara 26 taman eko rimba dan hutan taman negeri walaupun negeri itu sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Turut ditutup bagi aktiviti riadah ialah kawasan pendakian dan perkelahan terdapat dalam hutan simpan kekal

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, keputusan melanjutkan penutupan sementara semua pusat perkelahan itu diputuskan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka 26 taman eko rimba termasuk kawasan pendakian dan perkelahan terdapat dalam hutan simpan kekal.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, Pejabat Hutan Daerah tidak akan mengeluarkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal bagi tujuan aktiviti riadah.

“JPNP memohon maaf terhadap keputusan melanjutkan penutupan sementara semua 26 taman eko rimba, hutan taman negeri, kawasan pendakian dan perkelahan terdapat dalam hutan simpan kekal bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Keputusan itu dibuat demi kebaikan bersama, kita tidak mahu keseronokan bersama keluarga dan rakan di pusat perkelahan di bawah seliaan JPNP berakhir dengan kejadian tidak diingini.

“Kita akan umumkan pembukaan semula semua pusat pelancongan di bawah seliaan JPNP pada tarikh akan ditetapkan,” katanya yang berharap masyarakat tidak bertindak menceroboh kawasan taman eko rimba.

Regina Mariah berkata, hampir setiap hari pihaknya menerima pertanyaan daripada individu yang ingin beriadah dalam hutan simpan kekal terutama di Bukit Pelindung, di sini.

Katanya, mereka yang memasuki hutan simpan kekal tanpa permit untuk melakukan aktiviti riadah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *