• Monday, 21 June 2021, 2:04 am

Penubuhan ASTiF UMS martabatkan kesenian rakyat Sabah

 Penubuhan ASTiF UMS martabatkan kesenian rakyat Sabah

Ketua Dua, Ikatan Penulis Sabah (IPS), Abdul Muiz Awang Marusin

SEPANGGAR, 9 Jun — Penubuhan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diyakini menjadi pemangkin untuk memartabat dan mengembangkan kesenian dan kreativiti masyarakat majmuk di negeri itu.

Ketua Dua, Ikatan Penulis Sabah (IPS), Abdul Muiz Awang Marusin, berkata persatuan itu yakin akademi berkenaan berupaya membantu serta mempertingkatkan mutu seni, sastera dan budaya di negeri kaya dengan khazanah warisan pribumi.

Pada masa sama, karya dan produk seni seperti hasil sastera, seni tampak, arca dan kraftangan dapat dipasarkan seterusnya dipromosikan dengan lebih meluas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau, berkata kesenian dan kreativiti dalam lingkungan ‘hilang di dunia’ warisan masyarakat di pendalaman yang belum dikenali turut dapat dipromosi menerusi kewujudan akademi berkenaan.

“Penubuhan ASTiF di UMS bukan saja suatu pengiktirafan kepada kepelbagaian dan keunikan seni masyarakat majmuk di Sabah, malah menjadi batu loncatan menjadikan budaya etnik pribumi sebagai kebudayaan kebangsaan.

“Sebagai persatuan penulis yang rapat dan sering mengadakan kerjasama dengan UMS dalam bidang pengembangan seni, sastera dan budaya di Sabah, kami amat bangga, menyambut baik dan berkongsi kegembiraan atas kejayaan universiti awam itu menubuhkan ASTiF,” katanya kepada Wacana.my, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Jabatan Pendaftar UMS berhubung penubuhan ASTiF berkuat kuasa 27 April lalu selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menerusi pengumuman di laman web universiti itu, UMS turut menyampaikan penghargaan kepada KPT atas keprihatinannya terhadap seni, sastera dan budaya di Sabah sehingga penubuhan ASTiF dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sementara itu, IPS, turut mengucapkan tahniah kepada Profesor Madya Dr Zairul Anwar Md Dawam atas pelantikan sebagai Dekan ASTiF yang pertama dan mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh warga ASTiF yang akan merealisasikan matlamat akademi itu.

Dalam pada itu, pembuat gong dari Kampung Sumangkap, Matunggong, Rohana Mokuut, berharap akademi itu turut memberi peluang kepada anak pengusaha kraf tangan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UMS dalam bidang seni dan teknologi kreatif.

“Ketika ini, ada Institut Kraf Negara atau Kampus Satelit Institut Kraf Negara, dan kami harap anak pengusaha kraf menimba ilmu di situ berpeluang meneruskan pengajian ke UMS (ASTiF). Ini peluang kedua melanjutkan pengajian ke universiti awam”, katanya.

Mohd Azrone Sarabatin

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *