Penternak hiba 2,000 ayam dihanyut banjir

 Penternak hiba 2,000 ayam dihanyut banjir

Oleh MOHD HAIQAL RAMLI

MASJID TANAH, 6 Januari 2022 – Luluh hati seorang penternak apabila menyaksikan lebih 2,000 ayam kampung, 50 arnab dan 1,200 ‘poly beg’ cili padi musnah akibat banjir yang menyebabkan kerugian lebih RM100,000.


Namun, segala kepedihan itu diterima dengan sabar dan redha oleh Zulkifli Osman, 55, kerana beliau memahami setiap ujian Allah ada hikmah di sebaliknya.

Zulkifli memberi penjelasan kepada Ahmad dan Haslina mengenai kerugian dialaminya akibat banjir di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Zulkifli menjelaskan, ketika banjir besar 5 pagi, 18 Disember lalu, beliau dan beberapa pekerjanya berusaha untuk menyelamatkan haiwan ternakan tetapi tidak berdaya apabila mendapati air sudah mencecah dua meter.


“Saya melarang pekerja masuk ke reban arnab dan ayam kampung kerana bimbang keselamatan mereka dan tiada apa yang mampu kami lakukan selain menahan kesedihan menyaksikannya.


“Hanya selepas air surut pada jam 9 pagi keesokannya, kami dapat masuk ke dalam kandang untuk mengutip bangkai ayam kampung dan arnab,” katanya.

Zulkifli (kiri) memberi penjelasan kepada Ahmad mengenai kerugian dialaminya akibat banjir di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri I Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah yang meninjau kerosakan akibat banjir di ladangnya di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina dekat sini semalam.


Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Beginilah keadaan ladang ternakan Zulkifli ketika dilanda banjir di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah pada 18 Disember lalu.


Zulkifli berkata, beliau memulakan industri penternakan arnab, ayam kampung, kambing, lembu dan penanaman cili padi secara fertigasi di kawasan seluas 1.6 hektar pada 2015.


“Alhamdulillah saya sudah beberapa kali menikmati hasil jualan dan banjir besar kali ini saya terima dengan reda walaupun terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000.


“Saya amat berharap MAFI mampu menghulurkan sumbangan bagi membantu saya membina semula industri itu kerana ia membabitkan modal besar,” katanya.

Zulkifli mengutip bangkai ayam kampung selepas banjir surut di ladangnya di Kampung Ramuan Cina, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.


Sementara itu, Ahmad berkata, kajian rambang MAFI mencatatkan kira-kira 5,500 peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara yang dilabelkan sebagai ‘Wira Agro’ mengalami kerugian kira-kira RM69 juta.


Beliau bagaimanapun berkata, jumlah berkenaan belum termasuk Wira Agro di Johor yang masih bergelut dengan bencana banjir.


“MAFI menyediakan RM100 juta melalui Dana Bangkit Semula Keluarga Agro, selain Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) sebanyak RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta,” katanya.


Beliau berkata, di Melaka sahaja, seramai 275 Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM2.83 juta akibat banjir.
Beliau memberi jaminan sebaik sahaja kajian menyeluruh selesai, mereka yang terjejas akan diberikan sumbangan bagi memastikan pengeluaran bahan makanan negara tidak terjejas. ENDS-

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1  +  2  =