Pentas & Co tawarkan bantuan makanan

 Pentas & Co tawarkan bantuan makanan

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 25 Feb: Kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) ZeroHunger dan Kelab Pemuda Kampung Baru menawarkan bantuan kepada sesiapa memerlukan.

Pengasas bersama, Farizul Hazli Baharom, 50, berkata antara perkhidmatan yang disediakan ialah makanan siap masak percuma (Soup Kitchen),  bakul makanan percuma dan jualan amal barangan keperluan asas seperti pakaian, buku, kasut, perkakas rumah dan sebagainya.

“Kami mula beroperasi pada 1 Januari 2021 lalu dan sejak itu tidak kurang 400 pek makanan diedarkan setiap bulan,” katanya.

Pengasas Pentas & Co Farizul Hazli Baharom mahu bantu lebih ramai rakyat yang memerlukan

Lima pekerja dan kira-kira 50 sukarelawan menjayakan program di sini.

Terletak bersebelahan pejabat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru di sini, Kafe Pentas & Co turut menyediakan kebun bandar untuk penduduk sekitar memanfaatkannya.

Bertemakan menu barat dan tempatan, penerima bantuan makanan bakal menikmati makanan berkhasiat disediakan oleh chef yang pernah berkhidmat di hotel bertaraf 4 bintang, Chef Noor Shamsul Mohd.

Chef Noor Shamsul mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kulinari.

Menurut Farizul, Pentas & Co mengalu-alukan semua pihak untuk sama-sama memberi sumbangan bagi membantu ramai lagi rakyat yang memerlukan.

“Kami menjangkakan lebih ramai penerima akan memohon bantuan apabila tiba Ramadan kelak, oleh itu kami dalam proses bekerjasama dengan restoran lain untuk memastikan pemohon dari seluruh Kuala Lumpur dan Selangor dapat manfaatnya,” katanya.

Orang ramai juga dijemput menjamu selera di sini sambil menderma barangan terpakai untuk diserahkan kepada yang memerlukan.

Waktu operasi Kafe Pentas & Co adalah 10 pagi – 10 malam dan ditutup pada setiap Rabu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

47  −    =  45