• Sunday, 20 June 2021, 11:53 am

Pensil pun tak boleh beli?

 Pensil pun tak boleh beli?

Foto yang tular di media sosial mendakwa bahagian alat tulis ditutup dan sebarang pembelian tidak dibenarkan

SHAH ALAM, 8 Jun — Segelintir rakyat mempersoal tindakan beberapa pasaraya dan peniaga yang menutup bahagian kedai yang menjual alat tulis.

Sejak awal bulan Mei yang lalu, sesi persekolahan ditutup dan digantikan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pelbagai tugasan diberi kepada pelajar yang memerlukan mereka menyiapkan modul latihan dan aktiviti seni.

Namun rungutan segelintir ibu bapa mula dilihat di media sosial seperti Facebook apabila sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan penuh dilaksanakan bermula 1 Jun lepas, namun kedai alat tulis tidak dibenarkan beroperasi.

Sementara itu peniaga kedai runcit dan pasaraya pula menutup bahagian yang menjual barangan keperluan selain dari barang makanan.

Norazlin Hamdan, 35 dari Puncak Alam memberitahu Wacana.my beliau tidak menyangka alatan keperluan persekolahan tidak boleh dibeli ketika lockdown.

“Nak beli sebatang pensil pun tak boleh, anak perlukan peralatan untuk belajar, tetapi ada duit pun tak boleh beli,” katanya.

Norazlin berkata beliau turut menghadapi masalah mendapatkan bahan rujukan pembelajaran anak-anak kerana kedai buku turut ditutup.

“Benar banyak bahan dalam talian, tetapi anak perlu mencetak. Saya ada 5 orang anak. Seorang anak ada sekurang-kurangnya 6 mata pelajaran utama. Jika semua mencetak modul latihan, saya harus juga belikan kertas dan dakwat mesin cetak tetapi semua itu tidak dijual di pasaraya dan kedai buku pula tutup,” katanya.

Sementara itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelaskan bahawa semua barang di kedai barangan harian atau kedai runcit boleh dijual.

Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dalam prosedur operasi standard (SOP), telah melarang kedai menjual barang “tidak penting”, MKN menjelaskan berlaku salah faham.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohd Rabin Basir berkata MKN memutuskan semua barang di kedai dapat dijual kepada pelanggan.

“Kami mengizinkan kedai runcit dan pasar raya menjual barang yang ada di premis mereka, itu tidak menjadi masalah,” katanya dalam temu bual dengan semua akhbar tempatan.

Menurut Rabin, mana-mana kedai seperti itu yang didenda kerana tidak menutup bahagian “tidak penting” akan diteliti semula berdasarkan kes masing-masing.

Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dijangka akan membuat kenyataan rasmi berkenaan perkara ini dalam masa terdekat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *