Penjawat awam hadapi lapan pertuduhan terima suapan berjumlah RM25,887

 Penjawat awam hadapi lapan pertuduhan terima suapan berjumlah RM25,887

BUTTERWORTH, 11 Mac — Seorang penolong pegawai kesihatan persekitaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas lapan pertuduhan mendapat suapan berjumlah RM25,887 sekitar tahun 2016.

Sumardi Yazid, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada 8 Mac 2016 dengan mencadangkan syarikat perkhidmatan disinfeksi milik adik kandungnya sebagai pembekal bekalan am berjumlah RM5,200, RM3,840, RM2,210 dan RM2,640 dalam Borang Permohonan Pembelian Bekalan atau Perkhidmatan.

Manakala bagi pertuduhan kelima hingga kelapan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Ogos 2016 dan 9 Ogos 2016 dengan mencadangkan syarikat perkhidmatan disinfeksi milik adik kandungnya sebagai pembekal bekalan am berjumlah RM1,639, RM5,080, RM3,220 dan RM2,058 dalam Borang Permohonan Pembelian Bekalan atau Perkhidmatan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Berapit, Bukit Mertajam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri dan S. Selvaranjini menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Sumardi, yang diwakili peguam Ang Chun Pun, merayu mahkamah agar mengurangkan jaminan atas alasan dia bergaji rendah, perlu menanggung isteri dan anak, serta ibu yang mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan, dan menetapkan 13 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  17  =  19