• Thursday, 17 June 2021, 2:30 pm

Penjadualan semula jika gagal hadir janji temu vaksin

 Penjadualan semula jika gagal hadir janji temu vaksin

Dr. Adham Baba (tengah) ditemani Dr. Aman (dua kanan) dan Vidyananthan (kanan) semasa melakukan tinjauan persiapan di PPV Mega Persada Johor di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU, 6 Jun — Mereka yang tidak hadir janji temu untuk suntikan perlu melakukan penjadualan semula menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penjadualan semula itu bagi memastikan penerima tersebut tidak ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ini bagi mencapai imunisasi kelompok, iaitu seramai 80 peratus rakyat tercapai. Jumlah individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu mereka akan dimaklumkan kerajaan minggu depan.

“Kita terima laporan harian bahawa ada individu yang gagal hadir janji temu vaksinasi mereka atas pelbagai sebab, antaranya tiada pengangkutan atau kerana takut untuk disuntik,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dr. Adham berkata, pihaknya tidak berdepan masalah akibat kegagalan individu menghadiri janji temu kerana bekalan vaksin sedia ada itu boleh digunakan untuk penerima suntikan pada keesokan harinya.

Jelasnya, individu yang tidak hadir itu juga tidak perlu bimbang kerana nama mereka telah berdaftar dan masih ada dalam senarai individu menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan PPV Mega di Persada Johor yang akan mula beroperasi esok akan memberi suntikan vaksinasi kepada 500 penerima bagi dua hari pertama pembukaannya.

“Kita akan laksanakan program ini secara berperingkat-peringkat, iaitu pada hari pertama dan kedua, seramai 500 penerima akan disuntik, manakala bermula hari ketiga dan seterusnya seramai 3,000 individu akan disuntik sehari.

“Kaedah pelaksanaan suntikan bagi vaksin AstraZeneca ini akan dilakukan sama seperti suntikan vaksin lain yang telah dibuat terdahulu dan saya yakin semuanya akan berjalan lancar kerana persiapan rapi telah dibuat,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *