Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
“Scammer online” makin bermaharajalela sejak PKP

Oleh Mohammad Ishak
JERTIH, 14 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHP) menerima banyak aduan kes penipuan terhadap pengguna yang melakukan aktiviti pembelian secara online.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihak kementerian mengesan kes terbabit meningkat sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020.

Kata beliau, ia berpunca daripada orang ramai terpaksa melakukan pembelian secara online kerana banyak premis perniagaan tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
Katanya, orang ramai perlu berhati-hati dengan memilih syarikat yang benar-benar menawarkan perkhidmatan jualan secara online bagi mengelak kes penipuan.
“Kebanyakan kes yang diadukan oleh pengguna adalah membabitkan syarikat jualan luar negara kerana pihak kementerian tidak dapat mengambil tindakan,” katanya selepas meninjau sebuah pasar di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, KPDNHEP melakukan pemeriksaan 11,065 premis di seluruh negara merangkumi 10,808 premis runcit dan 257 premis borong.
Beliau berkata, pemeriksaan itu sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baru Cina selama sembilan hari bermula 8 Februari yang bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan kementerian.
“Menerusi pemeriksaan itu juga, 122 kes membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga (79), gagal guna tanda harga khas merah jambu (36) dan tujuh kes menjual melebihi harga maksimun yang membabitkan jumlah sitaan keseluruhan RM6,122.91 dan jumlah kompaun RM14,600,” katanya.