• Wednesday, 16 June 2021, 6:25 am

Peningkatan kes Covid-19: NGO tingkatkan usaha bantu rakyat

 Peningkatan kes Covid-19: NGO tingkatkan usaha bantu rakyat

Sukarelawan Kembara Kitchen membantu kerja-kerja menyusun barang bantuan untuk agihan.

SHAH ALAM, 30 Mei –Bermula dari pertengahan Mac 2020 sehingga hari ini, sukarelawan di negara ini sibuk membantu golongan asnaf, kanak-kanak dan B40 serta M40 yang terkesan oleh wabak Covid-19.

Malah, ada juga golongan yang sebelum ini tergolong didalam kategori T20 mula terkesan sejak lewat 2020 dan awal 2021 kerana terjejas sumber pendapatan dan simpanan semakin berkurangan.

Antara yang kekal konsisten sepanjang tempoh sukar ini adalah pasukan Kembara Kitchen.

Walaupun bergelar usahawan sosial atau social entreprenuer, peneraju Kembara Kitchen, pasangan suami isteri William Cheah dan Yilyn Chan masih mengutamakan kerja amal dalam urusan mereka setiap hari.

“Kes Covid semakin meningkat, hidup rakyat semakin tertekan sehingga ada yang tidak makan beberapa hari,” katanya.

Menurut William, keadaan kemiskinan di negara ini tidak begitu teruk sebelum dunia dilanda wabak Covid-19.

Kembara Kitchen mengalu-alukan kiriman barangan asas seperti susu, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa serta apa jua barangan makanan dan keperluan yang dirasakan sesua

“Kini kami menerima permohonan bantuan dari individu yang sebelum ini ada pekerjaan tetap namun kini mereka kehilangan punca pendapatan, ada juga yang tidak layak mendapat bantuan kerajaan dengan alasan mereka sebelum ini didalam golongan T20 atau M40,” katanya.

Dibandingkan dengan permohonan bantuan sebelum Covid melanda, William berkata pihaknya kini memerlukan bantuan berlipat ganda.

“Kami merayu kepada semua pihak yang mampu untuk sama-sama membantu golongan ini, jangan lihat keselesaan mereka sebelum ini, lihatkan kesusahan mereka sekarang,” katanya.

Hari ini pasukan Kembara Kitchen menghantar bantuan makanan sebanyak 2 tan ke Gugusan Kepulauan Tumpat  Kelantan menggunakan lori.

Menurut penyelaras program Kembara Kitchen, Yilyn berkata penghantaran makanan dari sini ke Kelantan adalah atas permintaan penduduk disana yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan diperketat (PKPD).

“Kami hanya membenarkan seramai 20 orang sahaja sukarelawan yang berdaftar dengan kami membantu dengan kerja-kerja mengangkut barangan bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.

Selain kerjasama dengan hampir 20 badan NGO lain dalam usahasama dinamakan Talian Kembara, Kembara Kitchen turut menerima bantuan dari anggota Bomba terdekat.

“Kami sering bekerjasama dengan barisan hadapan sekitar kawasan kami, oleh itu mereka juga ringan tulang membantu kami dengan kerja berat apabila diperlukan,” katanya.

Yilyn menegaskan mereka selesa bekerja dengan pihak yang patuh SOP yang ditetapkan dan memahami situasi Covid-19.

“Kepada orang ramai yang ingin membantu, kami alu-alukan kiriman barangan asas seperti susu, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa serta apa jua barangan makanan dan keperluan yang dirasakan sesuai,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Pengurus Kembara Kitchen Azren Harun di talian 0178835249.

Selain itu sumbangan dana boleh disalurkan ke akaun bank CIMB Berhad 8602542231 atas nama Kembara Kitchen

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi Yilyn di yilynchan@sosprime.com

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *