Peniaga Pekan Rabu harap ada sinar teruskan perniagaan

 Peniaga Pekan Rabu harap ada sinar teruskan perniagaan

Oleh Muhammad Adib Hakim Hasri

ALOR SETAR, 17 Feb  — Peniaga-peniaga kecil di Kompleks Pekan Rabu di sini, semakin tertekan untuk meneruskan perniagaan masing-masing, berikutan kekurangan pelanggan kesan penularan COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

Jika sebelum ini kompleks itu sering dipenuhi orang ramai terutama pada hujung minggu dan musim perayaan, namun kini kebanyakkan peniaga di situ saban hari hanya menongkat dagu, menantikan pelanggan yang sesekali muncul.

Tinjauan Bernama ke pusat perniagaan yang menempatkan 350 peniaga kecil itu baru-baru ini mendapati, keadaan kompleks itu lengang dengan hanya beberapa lot perniagaan yang dibuka, manakala sebahagian lagi tidak beroperasi.

Menurut peniaga barangan berasaskan makanan Anis Shuha Azizan, 23, kekurangan pelanggan menyebabkan beliau terpaksa menanggung kerugian yang besar, apabila terpaksa melupuskan banyak barangannya yang tidak habis dijual.

“Saya menjual barangan seperti ikan pekasam dan ikan kering yang mempunyai tempoh luput, tetapi apabila tidak dapat dijual semua barangan itu terpaksa dilupuskan,” katanya yang kerugian sekitar RM400 setiap bulan.

Bagi peniaga kuih tradisional, Zaini Al Tahari, 52, kekurangan pelanggan yang mengunjungi kompleks itu menyebabkan beliau terpaksa beralih ke platform laman sosial, untuk mempromosi dan menjual produk-produknya.

Menurut beliau, walaupun tidak memperoleh keuntungan yang sama seperti menjual di premis, namun pendapatan yang diperoleh sedikit sebanyak membantunya dan keluarga, yang amat bergantung kepada perniagaan itu sebagai sumber pendapatan.

“Pekan Rabu ini sebenarnya amat bergantung kepada kehadiran pelancong luar Kedah, tapi sekarang ini susah sikit mereka nak datang, jadi terpaksa guna kaedah media sosial dan Alhamdulillah ada juga pendapatan,” katanya.

Peniaga pakaian Suraya Abu Bakar, 40, yang turut mengalami kerugian sejak setahun lalu, hanya mampu berdoa agar keadaan pulih seperti sedia kala secepat yang mungkin.

“Perniagaan saya amat bergantung kepada pengunjung dari luar dan tanpa kehadiran mereka, memang sukar untuk saya teruskan perniagaan. Saya cuma berharap keadaan akan lebih baik selepas ini,” katanya.

— BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1