Peniaga mikro puas hati boleh operasi

 Peniaga mikro puas hati boleh operasi

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Pengumuman kebenaran operasi semula perniagaan mikro seperti perkhidmatan mencuci kereta dan gunting rambut disambut dengan nafas lega kalangan pengusahanya.

Pengusaha kedai gunting rambut, Ahmad Fayyad Mohd Joned, 25, berkata keputusan yang dibuat kerajaan itu dapat membantu usahawan belia yang mendominasi perniagaan berkenaan.

Beliau berkata, banyak premis terpaksa gulung tikar kerana tidak dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat pada 13 Januari lalu.

“Walaupun tidak boleh beroperasi, bayaran utiliti, sewa serta gaji pekerja tetap perlu dibayar. Saya percaya sektor ini mungkin akan mati jika ia tidak dibenarkan beroperasi sekali lagi,” katanya kepada Wacana.my.

Menurutnya, sejak dibenarkan beroperasi semula, pihaknya mengamalkan prosedur standard operasi (SOP) ketat sebagai langkah keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Sepanjang PKP, kami tidak menggunakan sistem walk-in sebaliknya menekankan sistem temu janji terhadap pelanggan kami. Tukang gunting kami juga perlu memakai pelitup muka dan sarung tangan pakai buang untuk setiap pelanggan.

Sementara itu, pengusaha perkhidmatan cuci kereta, Siti Nur Shafiqah Shukor, 24, berkata pembukaan semula operasi perniagaan memberi beliau peluang untuk memastikan kelangsungan peniagaan dan pekerjanya.

Beliau memulakan perniagaan cuci kereta pada 2019 dan jumlah pelanggan merosot sejak PKP dilaksanakan.

“Kedai cuci kereta bukan faktor terbesar penularan COVID-19 dan tiada kluster yang melibatkan sektor perniagaan ini, jadi saya tidak faham mengapa perniagaan ini ditutup.

“Bagaimanapun, saya harap keputusan yang diumumkan akan membuat semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, orang ramai turut lega apabila kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semula. Tinjauan Wacana.my di beberapa kedai gunting rambut sekitar ibu kota mendapati premis itu didatangi pelanggan yang mahu memotong rambut atau membuat temu janji.

Seorang pelanggan, Muhammad Syafiq Abd Shukor, 22, berkata: “Pada mulanya, saya rasa risau juga sebab kes COVID-19 makin membimbangkan. Tetapi selepas bertanya dan melihat sendiri langkah keselamatan diambil, baru saya bersetuju untuk memotong rambut.”

Muhd Syafiq Kamaldin, 25, pula berkata SOP yang ditetapkan patut dipatuhi  semua industri bagi mengekang penularan COVID-19.

“SOP bukan sahaja perlu dipatuhi oleh peniaga malah pihak pengguna atau pelanggan turut patut mematuhi. Saya juga setuju jika kompaun dinaikkan sebagai pengajaran kepada mereka yang tidak mematuhi SOP, tetapi penguatkuasaan ini perlu dilakukan dengan adil tanpa mengira status,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  1  =