Peniaga mengaku tak bersalah pukul isteri ketiga hingga koma

 Peniaga mengaku tak bersalah pukul isteri ketiga hingga koma

Rosmaini Abd. Rauf (kanan) didakwa tuduhan mencederakan isteri ketiganya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini.

JOHOR BAHRU, 17 Jun — Seorang peniaga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isteri ketiganya yang hamil sehingga parah dan koma pada 4 Mei lalu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Rosmaini Abd. Raof, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, V. M Mabel Sheela.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang mempunyai empat isteri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, 43.

Terduduh didakwa memukul bahagian kepala, muka dan tangan serta menghentakkan kaki pada bahagian belakang tangan yang menyebabkan kecederaan parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin di sini jam 6 pagi, 4 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta 326A kanun yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai depan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  11  =  12