Peniaga lega perniagaan semakin pulih

 Peniaga lega perniagaan semakin pulih

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Peniaga restoran menarik nafas lega perniagaan mereka semakin pulih sejak syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin dilonggarkan.

Hiekal Rosli, 39, memberitahu Wacana.my, ketika PKP 1.0 jualan amat teruk sehingga hampir menutup perniagaan namun mereka mula menggunakan perkhidmatan dalam talian.

“Bermula dari PKP 2.0 tempahan atas talian semakin menurun kerana ketika PKP 1.0 tak ramai lagi yang berniaga atau tak ramai yang ada servis penghantaran tambah lagi kita semua memang tak boleh keluar langsung masa PKP 1.0, tapi masa PKP 2.0 jualan atas talian menurun” katanya.

Selain faktor pesaingan, Hiekal berpendapat kesan dari PKP 1.0 di mana ramai yang kehilangan kerja dan mula berniaga selepas itu.

“Kini sejak dah ada kelonggaran di mana boleh makan di restoran dengan kapasiti meja penuh, restoran yang berkonsep keluarga seperti Molek Cafe sudah mula ada peningkatan drastik dari hari ke hari,  Alhamdulillah restoran kami penuh pada hujung minggu,” katanya.

Tambah Hiekal, sebagai pengusaha restoran beliau  berharap keadaan ini kekal dan pada masa yang sama mereka akan sentiasa memastikan pekerja dan pelanggan menjaga SOP demi keselamatan para pekerja dan pelanggan.

“Dari segi bantuan-bantuan kewangan kerajaan, ia sangat efektif bagi melancarkan lagi aliran tunai dalam pengurusan peniagaan,” katanya.

Menurut Hiekal, keluarga terutama anak-anaknya menjadi pembakar semangat agar terus berusaha bertahan dalam menghadapi segala dugaan dalam perniagaan ini

Bagi Norrani Yusof berkata, “saya sangat lega semenjak kerajaan membenarkan pelanggan untuk makan di restoran, jika tidak memang setiap hari kita risau. Dengan kos harga barang yang tidak menentu, dengan kehadiran pelanggan yang sedikit, ianya menyukarkan kita sebagai peniaga untuk mengekalkan perniagaan, namun kini Alhamdulillah ada peningkatan.”

Menurut Norrani lagi, ini adalah masa untuk memulihkan kembali perniagaan, namun kesan dari PKP1.0 dan PKP2.0 tetap dirasai.

Pemilik restoran Rangkaian Daging Merah Loqstaq ini berkata, hampir 50 peratus pelanggan masih memilih untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grabfood dan Foodpanda untuk memesan makanan dari restorannya yang terletak di Mutiara Damansara dan Shah Alam.

“Kami berharap agar pelanggan akan kembali membeli dan makan di restoran seperti biasa, ini penting untuk membantu peniaga seperti kami kembali bernafas dalam situasi yang penuh sukar dan mencabar kini,” katanya lagi.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

58  +    =  63