Peniaga jangan naikkan harga susulan pelancaran VTL

 Peniaga jangan naikkan harga susulan pelancaran VTL

JOHOR BAHRU – Peniaga di bandar raya ini diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan jualan sesuka hati selepas pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura menerusi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.

Sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak, tindakan segera dan tegas akan dikenakan,” katanya dalam sidang media selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Negeri Johor di Pasaraya Econsave Taman Daya, di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pengguna di negeri ini supaya berbelanja secara bijak dan tidak melakukan pembelian panik berikutan bimbang harga barang meningkat lagi, sebaliknya beli mengikut keperluan.

Jelasnya, ini kerana bekalan barang keperluan sedia ada di negeri ini mencukupi terutamanya ayam dan bahan kering.

“Tak payah beli banyak-banyak. Kita juga akan bekerjasama dengan pengguna dan minta semua peniaga tidak menaikkan harga secara mendadak.

“Pada masa ini kita minta peniaga dapat turunkan sedikit harga barang supaya pengguna dapat barangan dengan murah. Kita ada terima aduan di Mersing dan Johor Bahru harga ayam agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan di daerah itu mendapati ada barang naik antara lima hingga 10 peratus bergantung kepada barangan yang disebabkan pelbagai faktor, antaranya kos penghantaran. 

Menurutnya, seramai 200 anggota dan pegawai penguat kuasa akan memantau harga barang setiap hari dan pengguna yang mahu membuat aduan boleh menyertakan maklumat lengkap terutama tempat dan tarikh jika sudah membuat pembelian.

Mohd Hairul Anuar (kanan) dan Mas Imran (kiri) menunjukkan ayam dijual pada harga murah dalam PJKM Peringkat Negeri Johor di Pasaraya Econsave Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya yang bekerjasama dengan KDPNHEP Johor untuk program tersebut dapat menawarkan harga murah kerana semua bekalan terutama sayur tidak melibatkan orang tengah.

Jelasnya, semua sayur-sayuran diambil dari ladang tempatan berdekatan dan tidak timbul isu harga tinggi kerana bekalan diambil terus daripada pengusaha kebun atau ladang sayur. 

“Harga barangan yang dijual di sini adalah sekitar 15 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pada waktu biasa. Contoh harga ayam dijual RM7.99 sekilogram sahaja, kalau sebelum ini RM8 lebih,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

41  −  31  =