Peniaga daging, ayam segar jangan letak harga sesuka hati – KPDNHEP Perlis

 Peniaga daging, ayam segar jangan letak harga sesuka hati – KPDNHEP Perlis

Oleh M A Akid

KANGAR, 8 Mei – Peniaga daging atau ayam segar yang berniaga sementara di gerai luar kawasan pasar sempena Aidilfitri diingatkan tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga jualan barangan mereka tanpa mengikut Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa 2021 yang ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perlis, Norazah Jaapar berkata, lazimnya peniaga ini akan banyak membuka perniagaan mereka secara persendirian menjelang Aidilfitri nanti.

“Sebenarnya pemantauan kita bukan hanya di pasar basah atau di pasar raya sahaja.Jadi sesiapa sahaja yang ada menjual barang basah (daging dan ayam segar) berkenaan akan tetap tertakluk kepada peraturan serta skim harga yang sudah ditetapkan.

“Contoh di Pauh, kita lihat ramai peniaga ayam atau daging segar berniaga di tepi jalan sahaja dan pasukan penguatkuasa kita tetap ‘turun padang’ menjalankan pemantauan harga dan advokasi jadi tiada masalah di sini.

“Malah, kami sudah pun memantau peniaga ini sebelum wujudnya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP),” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan SMMP Hari Raya Puasa (HRP) 2021 oleh KPDNHEP Negeri Perlis di Pasar Besar Sena, di sini hari ini.

Katanya, bagi fasa kedua SHMMP yang berkuatkuasa bermula semalam sehingga 20 Mei, terdapat penambahan sebanyak 20 barangan harga terkawal menjadikan keseluruhan barangan yang diletakkan mengikut SHMMP sebanyak 32 barangan.

“Penambahan barangan ini membabitkan sayuran, barang kering dan hasil laut dan dengan jumlah ini menjadikan keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP HRP 2021 adalah 32 barangan.

“Dalam masa yang sama juga, kementerian turut memperkenalkan Ops Pantau dan Ops Catut 8.0 di mana 13 kes sudah diambil mengikut kesalahan tidak mempamerkan tanda harga pada barangan jualan dan menggunakan alat timbang dan sukat yang tamat tempoh tentu sah untuk tujuan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kompaun bagi 13 kes berkenaan adalah sebanyak RM1,300.

Terdahulu, Norazah melakukan tinjauan dan pemeriksaan kawalan harga dengan menemui peniaga di pasar berkenaan.

Sepanjang tinjauan dilakukan, beliau berpuashati dengan kadar pematuhan yang diikuti oleh kebanyakkan peniaga di pasar itu.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

26  +    =  36