Pengusiran diplomat dan warga Korea Utara selaras dengan Konvensyen Vienna 1961 – Hishammuddin

 Pengusiran diplomat dan warga Korea Utara selaras dengan Konvensyen Vienna 1961 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Pengusiran kesemua petugas diplomatik di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dijalankan selaras dengan Artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Malaysia semalam mengusir semua diplomat Korea Utara selaras dengan keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Wisma Putra, Jumaat lalu.

“Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tersebut sebagai respons terhadap keputusan unilateral dan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada Jumaat lalu.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata tindakan kerajaan itu menjadi satu keperluan dalam usaha melindungi kedaulatan dan memelihara kepentingan negara ini.

“Tindakan ini adalah peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan kehakiman kita, tidak menghormati sistem tadbir urus dan sentiasa mewujudkan ketegangan yang tidak perlu dalam mengingkari peraturan berdasarkan perintah antarabangsa,” katanya.

Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, yang terjalin pada 1973, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Susulan keputusan Korea Utara itu, kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak tahun 2017.

Kakitangan serta keluarga Kedutaan Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat komersial syarikat Shanghai Airlines penerbangan FM0886 ke Pudong, China –fotoBERNAMA (2021)

Kesemua 33 warga Korea Utara terbabit termasuk beberapa kanak-kanak, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang menaiki pesawat Shanghai Airlines Penerbangan FM886 ke Pudong, China pada 4.10 petang semalam sebelum transit di Beijing dan meneruskan perjalanan pulang ke Korea Utara.

Kuasa Usaha Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song serta Kaunselor Song Ki Choi dilihat membantu staf lain dan keluarga mereka mendaftar masuk sebelum kesemuanya dibawa ke laluan VIP.

Kim juga sempat bercakap dengan pemberita, meluahkan rasa kecewanya terpaksa meninggalkan Malaysia.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973 serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017 apabila  Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

82  −  76  =