Pengusaha sedia internet jayakan PdPR

 Pengusaha sedia internet jayakan PdPR

Oleh Suraya Ali 

SHAH ALAM, 8 Feb: Ketika mana ramai usahawan dan peniaga cemas jualan mereka semakin merundum ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ada kalangan mereka yang mengambil kesempatan ini membantu masyarakat setempat.

Tinjauan Wacana.my mendapati, ada pengusaha dan premis restoran di Puncak Alam dekat sini menawarkan penggunaan Wifi secara percuma kepada pelajar setempat.

Inisiatif itu dilakukan selepas mereka menyedari ada ibu bapa tidak mampu menyediakan persekitaran yang selesa serta capaian internet berkelajuan tinggi bagi membolehkan pelajar  melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Bermula beberapa individu di lokasi lain yang menawarkan bantuan menyediakan peralatan dan keperluan PdPR, kini peniaga di Puncak Alam turut menghulurkan bantuan kepada pelajar dan ibu bapa yang menghadapi masalah menjalankan PdPR. 

Antara usahawan yang awal menawarkan bantuan ialah Bengkel Kereta Rashid Puncak Alam. Pengusahanya, Abdul Rashid Salleh, 45, mengalu-alukan pelajar untuk  menggunakan perkhidmatan Wifi di lounge bengkel itu secara percuma. 

“Lounge kami dapat membantu mana-mana individu yang tiada akses internet untuk meneruskan PdPR  dengan selasa dan efektif,” katanya.  

Abdul Rashid berharap usaha itu dapat membantu sedikit sebanyak memudahkan pelajar dan meringankan beban ibu bapa dalam situasi pandemik COVID-19 sekarang. 

“Kami mahu anak anak ini tiada yang cicir dalam pelajaran kerana pelajaran akan dapat mengubah hidup sesebuah keluarga tersebut. Semoga mereka terus cemerlang dan dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.  

Namun  beberapa syarat dikenakan bagi menjaga keselamatan pelajar seperti membenarkan hanya 10 pelajar pada satu masa selain mematuhi SOP dengan mewajibkan mereka mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, membuat imbasan suhu badan dan menggunakan cecai basmi kuman.

Pihak bengkel menyediakan ruang berhawa dingin selain menyediakan makanan ringan, minuman panas dan sejuk serta sambungan Wifi serta plug point. 

Selain itu, sebuah restoran makanan Muslim turut menyediakan perkhidmatan yang sama. 

Menerusi Adun Jeram, YB Shaid Rosli, restoran Mamu FC di sini turut menyediakan meja di kawasan terbuka bagi membolehkan pelajar menggunakan internet. 

Pejabat Adun itu turut membiayai kos makanan dan minuman pelajar terlibat. 

Sementara itu, rata-rata penduduk setempat mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang memahami masalah mereka.  

Mereka memberitahu Wacana.my, ada di kalangan ibu bapa pergi ke restoran makanan segera berdekatan dan memakir kenderaan di situ bagi mendapatkan capaian internet. Selain itu, ada pelajar ke pasar raya dan menggunakan capaian internet percuma di sana.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  6