Pengusaha kedai gunting rambut: Kami jadi mangsa bila kes meningkat

 Pengusaha kedai gunting rambut: Kami jadi mangsa bila kes meningkat

Pengusaha kedai gunting rambut, Khizairi Khizan, 39 berada di depan kedainya yang terpaksa ditutup semasa pelaksanaan PKP 3.0 sejak 1 Jun 2021. Foto WMY

KANGAR, 19 Jun — “Sebagai pengusaha kedai gunting rambut, kami selalu menjadi ‘mangsa’ arahan untuk tutup setiap kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

“Saya melihat perkara ini harus dikaji semula oleh kerajaan kerana sejak kami dibenarkan beroperasi semula selepas PKP 1.0 tahun lalu, tiada lagi kes jangkitan yang melibatkan sektor gunting rambut, tetapi apabila kes COVID-19 meningkat kami antara yang diarahkan tutup,” begitulah luahan Khizairi Khizan, 39, yang juga seorang pengusaha kedai gunting rambut atau sekarang lebih sinonim disebut ‘barbershop’, di sini.

Beliau yang mengusahakan Khalifah Barbershop hampir 3 tahun di Taman Sena Indah dekat sini juga berkata, ketika musim PKP 3.0 atau ‘lockdown’ kini perniagaannya amat terjejas teruk.

“Ini adalah kali ketiga kedai saya tutup akibat arahan pihak berkuasa akibat PKP.

“Sampai bila kami harus dalam keadaan sebegini? Kami juga ada komitmen dan tanggungan. Kami juga ada keluarga yang perlu disara.

“Contohnya hari ini, kes banyak melibatkan pekerja kilang, tapi kami pula yang tutup,” jelasnya lagi.

Khizairi juga berkata, jika kerajaan hari ini memandang kami sebelah mata, lebih ramai lagi pengusaha barbershop yang terdiri daripada anak muda akan gulung tikar.

“Kami ada pekerja yang perlu digajikan, tapi perniagaan terpaksa tutup, bagaimana kami nak gajikan mereka? Pekerja kami juga ada tanggungan, mereka juga ada banyak perkara yang perlu dibelanjakan.

“Kerajaan mengarahkan kami tutup, tetapi sewa premis kami terpaksa tanggung pembayarannya setiap bulan walaupun perniagaan tidak dijalankan,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak dibenarkan beroperasi dari tahun lalu, pengusaha sepertinya amat patuh dengan SOP yang ditetapkan.

“Oleh itu mohon kali ini kerajaan pandanglah kami. Jangan ingat sektor seperti kami ini tidak penting untuk negara.

“Kami bukan nak merayu bantuan dari kerajaan dengan beri peruntukan atau sebagainya, cukuplah bagi kebenaran untuk kami beroperasi,” katanya.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

40  +    =  48