Pengusaha bot pelancongan kembali bernafas

 Pengusaha bot pelancongan kembali bernafas

JERANTUT, 5 Disember 2021 – Sektor pelancongan yang kembali aktif memberi sinar baharu kepada lebih 70 pengusaha bot pelancong di Taman Negara Pahang.

Selepas hampir dua tahun tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mereka mula menyediakan perkhidmatan apabila kini semakin ramai pelancong tempatan bercuti.
Bagi Syed Rafi Sy Mohamad, 54, disebabkan PKP hampir dua tahun dia tidak dapat meneruskan aktiviti membawa pelancong menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Keniang yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Pelancong menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling.

Menurutnya, sebelum ini hampir setiap minggu dia membawa pelancong untuk melakukan aktiviti memancing dibeberapa lubuk selain sebagai pengangkutan membawa penduduk kampung disepanjang sungai seperti Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.

Katanya, apabila PKP dia terpaksa melakukan kerja kampung seperti menangkap ikan di sungai bagi menyara keluarga.
“Sejak sektor pelancongan di Taman Negara dibuka saya mula menyambung aktiviti membawa pelancong menaiki bot untuk pelbagai kegiatan disepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Keniang.

“Saya bersyukur apabila dapat menyambung semula tugas sebagai pemandu bot panjang yang membawa pelancong untuk memancing selain melihat keindahan pemandangan sepanjang sungai,” katanya, di sini semalam.

Pengusaha bot pelancongan, Syed Rafi Sy Mohamad (kanan) dan rakanya, Abdullah Fazil Abd Aziz di Sungai Tembeling.

Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pemandu bot panjang berkata, apa yang diharapkan sektor pelancongan negara dapat terus aktif tahun depan bagi menambahkan lagi sumber rezeki pemandu bot di daerah ini.
Rakanya, Abdullah Fazil Abd Aziz, 37 berkata, selepas sektor pelancongan dibuka ramai pelancong datang ke Taman Negara Pahang, mereka menggunakan perkhidmatan bot panjang yang disediakan untuk melakukan aktiviti seperti memancing, menyusuri sungai sambil berkelah.

Kerbau mandi Sungai Tembeling menjadi antara produk pelancongan.

“Saya dan pemandu bot lain berharap sektor pelancongan di Taman Negara Pahang terus aktif sama seperti sebelum ini, pelancong tempatan dan luar negara datang sepanjang minggu melakukan pelbagai aktiviti.

“Saya juga berharap pihak berkaitan dapat mengadakan program promosi supaya lebih ramai lagi pelancong berminat datang ke Taman Negara Pahang yang menyajikan keindahan alam semula, sungai dan pelbagai produk lain,” katanya yang berasal dari Kampung Pagi, di sini.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  1