Pengusaha Amyera Beauty didenda RM10,500, miliki produk tidak berdaftar KKM

 Pengusaha Amyera Beauty didenda RM10,500, miliki produk tidak berdaftar KKM

PETALING JAYA, 8 Mac — Seorang pengusaha produk kecantikan didenda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki pelbagai produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Majistret M. Bharath menjatuhkan hukuman itu terhadap Fatin Amiera Zainal Abidin, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) mewakili syarikat Amyera Beauty Resources selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan OKS membayar denda RM1,000, RM3,500, RM1,500, RM3,000 dan RM1,500, masing-masing bagi pertuduhan pertama hingga kelima dan penjara tujuh bulan, sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar kesemua denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, usahawan yang terkenal di laman sosial Instagram itu didakwa memiliki pelbagai jenis produk kecantikan jenama Amyera Beauty tanpa notifikasi antaranya My Secret Cleanser, Flawless Night Cream dan Flawless Booster Cream di premis produk kecantikan tersebut di Neo Damansara, Bandar Damansara Perdana di sini, pada 19 Feb 2019.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 iaitu Peraturan 18A(15) dari peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM25,000 dan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan seterusnya.

Mengikut fakta kes, Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) KKM telah membuat serbuan di premis Amyera Beauty Resources dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa jenis produk kecantikan yang disimpan di premis itu tidak berdaftar dengan KKM.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari CPF Selangor Mohd Syahnizam Mohd Kassim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran bagaimanapun, ibu kepada seorang anak yang tidak diwakili peguam itu merayu denda minimum atas alasan kesemua produk berkenaan tidak lagi dijual.

“Memang silap saya kerana ketika serbuan, produk-produk itu masih berada di stor premis. Sebelum ini kesemua produk itu berdaftar dengan KKM, tetapi selepas beberapa tahun saya tidak lagi memperbaharui lesen tersebut kerana sudah tiada permintaan di pasaran.

“Barangan yang dirampas juga memang tidak lagi dijual kerana sudah tamat tempoh,” katanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  4  =  6