Pengurusan alam sekitar perlukan kajian mendalam

 Pengurusan alam sekitar perlukan kajian mendalam

Tangkap layar dari video yang dihantar di media sosial mengenai banjir di Kedah.

AMAT sedih kita melihat mala petaka yang menimpa manusia ketika ini di serata dunia. Bukan hanya pandemik COVID-19 sahaja yang telah mencabut nyawa banyak manusia, malah dalam waktu yang sama perubahan cuaca alam juga yang telah menyebabkan berlakunya ribut taufan, banjir besar yang menyebabkan kemusnahan jambatan dan jalan raya, rumah kediaman dan gedung perniagaan serta angkara lain lagi, termasuk menghanyutkan manusia dan menyebabkan kematian yang memakan masa pula untuk menjumpainya, seperti yang berlaku di daerah Yan dan Gunung Jerai dan beberapa tempat lain baru-baru ini.

Dalam situasi begini kita haruslah sedar bahawa pembangunan alam sekitar dan perubahannya sering melibatkan proses yang amat kompleks, iaitu yang memerlukan kajian saintifik berdasarkan ilmu pengetahuan yang mendalam. Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, air dan lain-lain tidak mudah dibicarakan secara simplistik,  Isu ini bukanlah mudah dibicarakan sebagai isu retorik atau takdir secara melulu tanpa mempunyai sebarang penilaian dan analisis undang-undang alam seperti yang banyak diisyaratkan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran.

Kajian tentang isu ini haruslah mewujudkan satu kombinasi kajian dari sudut pandangan saintifik dan agama bagi tajuk-tajuk yang dibicarakan. Dalam pembangunan ilmu sekarang ini, dimensi agama dan akal haruslah disepadukan dengan sebaik-baiknya berdasarkan konsep keesaan Tuhan.

Sandaran kita kepada ayat-ayat Allah tentang alam sekitar dapat dilihat umpamanya di dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33 yang bermaksud:
”Allahlah yang menjadikan langit dan bumi, dan menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan itu Ia keluarkan buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu, dan Ia mudahkan bagi kamu kapal bagi kamu supaya ia berjalan di lautan dengan perintah-Nya dan Ia mudahkan bagi kamu sungai-sungai. Dan Ia mudahkan bagi kamu matahari dan bulan yang tetap berjalan, dan Ia mudahkan bagi kamu malam dan siang.”

Dari sini ternyata bahawa isu pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar bukanlah merupakan isu mudah yang boleh diringan-ringankan, kerana isu ini ditunjangi oleh agama sebagai satu tanggungjawab agama bersumberkan perintah Allah SWT.

Bagaimanapun, dalam tulisan yang ringkas ini saya hanya menumpukan pembicaraan kepada satu sudut sahaja yang agak penting dalam isu yang dibicarakan di sini, iaitu tentang segala tata susila dan pengurusan yang seharusnya dimulai dari rumah sendiri. Oleh itu isu penjagaan alam sekitar ini juga seharusnya bermula dari rumah, iaitu dari aspek membentuk sikap dan kefahaman individu untuk menjadi peka kepada isu-isu alam sekitar, maka pendidikan di rumah memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini.

Mungkin jika diambil satu sudut penjagaan alam sekitar yang penting, seperti menjaga kebersihan persekitaran umpamanya, maka dalam hal ini penanaman sikap kepekaan terhadap kebersihan amatlah penting dimulai di rumah.

Persoalan-persoalan mudah seperti berapa banyakkah rumah tangga dalam masyarakat kita yang menyediakan bakul-bakul sampah di dalam dan di luar rumah mungkin dapat ditanyakan. Persoalan ini menjadi lebih penting untuk dijawab di rumah-rumah di luar bandar atau di pinggir-pinggir bandar, terutamanya apabila sampah-sarap tidak diuruskan oleh pihak kerajaan tempatan.

Di luar bandar umpamanya adakah penduduknya berusaha menanam sampah-sarap daripada amalan biasa yang mudah selama ini, iaitu dengan membakarnya sahaja? Malah kita mengetahui bahawa membakar sampah adalah merupakan satu perbuatan pencemaran udara yang serius.

Menyentuh persoalan kebersihan ini juga, kita mungkin dapat bertanya lagi, berapa ramaikah isi keluarga yang mengambil tindakan melatih anak-anak mereka menjaga kebersihan bilik air dan tandas di rumah masing-masing supaya sentiasa bersih?

Malah persoalan ini boleh berlarutan kepada persoalan kepekaan anak-anak itu kepada kebersihan rumah tangga dan persekitarannya, apakah hal ini menjadi satu perkara penting dalam kehidupan mereka?

Anak-anak yang tidak dididik beginilah yang akan keluar ke tengah-tengah bandar raya dan sebagainya, dan mereka akan membawa sikap yang sama iaitu tidak peka kepada kebersihan, lalu akan bertindak membuang sampah di sana sini secara sewenang-wenangnya. Mereka jugalah yang tidak peka kepada kebersihan tandas awam dan tidak kisah dengan peraturan menggunakan tandas, maka dengan itu tandas awam akan terus dikotori, dirosakkan dan dibiarkan dalam keadaan yang amat memalukan.

Oleh itu, saya rasa keluarga haruslah memainkan peranan yang lebih bersungguh-sungguh melatih anak-anak supaya menjadi orang yang bersih dan peka kepada kebersihan semasa mereka masih kecil lagi, agar hal ini akan terbentuk menjadi sikap yang positif walau di mana saja mereka berada.

Kita mungkin tidak harus bergantung kepada undang-undang seperti denda kerana membuang sampah yang dikuatkuasakan selama ini, kerana undang-undang itu kelihatan amat sukar dilaksanakan kerana tidak ada penguatkuasaan yang cukup. Kita juga mungkin tidak perlu menunggu Perdana Menteri  menegur atau pergi melihat sendiri tempat-tempat yang kotor, tempat pembakaran terbuka dan sebagainya barulah hendak sedar.

Hal yang demikian saya tegaskan, kerana saya beranggapan bahawa semua pihak seharusnya peka kepada hal ini dan akan mengambil tindakan sendiri dalam menangani perkara ini.
.
Sekiranya benar-benar keluarga dan sekolah dapat memainkan peranan ini secara bersungguh-sungguh, maka saya percaya segala kempen tentang isu-isu alam sekitar akan berkesan dan akan meninggalkan impaknya yang baik termasuk penjelasan yang bersumberkan nilai dan ajaran agama.

Seluruh dunia sekarang ini membicarakan isu pencemaran dan perubahan cuaca, maka kita juga haruslah memahami isu ‘climate change’ ini, dan kementerian yang berkenaan dengan hal ini haruslah segera mendidik generasi lama dan baharu dalam isu ini.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  +    =  61