Pengurus, 4 pengawal keselamatan warga asing ditahan

 Pengurus, 4 pengawal keselamatan warga asing ditahan

Oleh Nurman Nasyriq

ISKANDAR PUTERI, 17 April – Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan empat pengawal warga Pakistan dan India yang tidak mempunyai permit kerja di sebuah taman di Mutiara Rini, Skudai, di sini kelmarin.

Dalam tangkapan pertama jam 11.30 pagi, dua pengawal keselamatan warga Pakistan berusia 29 dan 34 tahun ditahan di sebuah pondok pengawal keselamatan di taman tersebut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua pengawal keselamatan itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan permit yang sah.

“Seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang merupakan pengurus kepada dua pengawal keselamatan itu turut ditahan ketika berada di lokasi sama kerana telah melanggar syarat lesen agensi persendirian dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.

“Kesemuanya menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya pengurus pengawal keselamatan itu positif dadah jenis methamphetamine. Pengurus itu juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Susulan tangkapan itu, pada jam 11.30 malam hari yang sama sepasukan anggota IPD Iskandar Puteri membuat tangkapan kedua melibatkan dua lagi pengawal keselamatan warga asing, iaitu dari India dan Paksitan.

Kedua-dua pengawal keselamatan yang berusia 28 dan 23 tahun itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ditangkap semasa berada di pondok pengawal keselamatan taman tersebut.

Beliau berkata, empat helai baju pengawal keselamatan berwarna putih yang dipakai tertera logo dan tulisan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PKIM) turut dirampas.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 14 Akta Agensi Persendirian 1971.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =