Penghujung peperangan COVID-19 hampir tiba – jangan leka

 Penghujung peperangan COVID-19 hampir tiba – jangan leka
Oleh Amerul Muner Mohammad

 

SETELAH  lebih  setahun kita berperang dengan COVID-19, yang boleh dianggap sebagai  ‘Perang Dunia’, harapan untuk Malaysia keluar genggaman virus tersebut menjadi besar. Setakat 16 Jun lalu, Malaysia telah merekodkan 673,026 jangkitan dengan 4,142 kematian. Virus ini memberi kesan yang mendalam bagi Malaysia, bukan hanya dari segi perkhidmatan kesihatan, malah memberi impak yang besar terhadap ekonomi dan perbelanjaan negara.

Semenjak Mac 2020, Malaysia mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) , Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)  dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19 yang amat mudah berjangkit. Malah kerajaan mengisytiharkan drurat di mana Parlimen digantung bagi memudahkan pengurusan bencana yang diakibatkan COVID-19.  PKP memberi kesan yang begitu mendalam terhadap kehidupan penduduk Malaysia. Ramai yang telah hilang pekerjaan dan punca pendapatan akibat penutupan perniagaan seperti industri pelancongan dan sebagainya. Walaupun kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada golongan B40 dan industri-industri yang layak, namun kehidupan ramai penduduk di negara ini telah berubah dengan ketara.

Penggantungan Parlimen adalah suatu tindakan drastik yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan usaha-usaha memerangi COVID-19 dapat dijalankan tanpa sekatan dan halangan politik yang mungkin timbul di dalam Parlimen. Walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Perdana Menteri, pengisytiharan tersebut tidak memberi kebebasan yang penuh kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini sewenang-wenangnya. Darurat memberi ruang kepada kerajaan untuk bergerak di perintah awal dan apabila setiap jentera kerajaan yang terlibat dapat bergerak dengan lancar, kerajaan harus memulangkan kuasa untuk mewujudkan undang-undang dan juga sebagai badan semak dan imbang berkaitan pentadbiran negara kepada Parlimen dengan kadar segera.

Parlimen adalah perhimpunan wakil-wakil yang sepatutnya membawa suara dan inspirasi rakyat di dalam proses pentadbiran negara. Dalam keadaan di mana rakyat amat terkesan akibat peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan, adalah wajar agar suara rakyat dapat dibawa ketengah agar masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diperhalusi di dalam pembikinan undang-undang dan polisi negara. Perkara ini hanya boleh berlaku sekiranya wakil-wakil rakyat dapat memberi keutamaan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dan bukannya kepentingan diri atau politik parti masing-masing. Telah lebih enam dekad Parlimen Malaysia ditubuhkan, telah tiba masanya bagi wakil-wakil rakyat dapat bersidang dengan penuh etika dan beradab bagi menggambarkan Parlimen sebagai sebuah badan yang tertinggi dalam pentadbiran negara.

Senjata utama melawan COVID-19, adalah dengan memberi suntikan vaksin kepada semua penduduk di negara ini. Adalah sukar bagi mencapai 100 peratus vaksinasi. Namun sekiranya 80 peratus penduduk mendapat vaksin, imuniti kelompok dapat dicapai dan ini boleh dianggap sebagai kejayaan menentang COVID-19. Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri adalah antara golongan pertama yang mendapat suntikan vaksin di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Oleh yang demikian, risiko jangkitan COVID-19 ke atas wakil-wakil rakyat adalah minimum. Alasan bahawa sidang Parlimen boleh menyebabkan penyebaran COVID-19 dengan lebih luas, bukanlah satu sebab mengapa sidang Parlimen tidak harus diadakan.

Risiko ini dapat dikurangkan lagi sekiranya sidang dilakukan secara hibrid iaitu campuran antara kehadiran secara fizikal di dewan dan juga melalui dalam talian. Bagi membolehkan sidang secara hibrid ini diadakan, beberapa undang-undang dan peraturan harus dipinda. Kerajaan boleh menggunakan Ordinans Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bagi tujuan tersebut. Inilah kelebihan undang-undang darurat yang kini berada di dalam genggaman kerajaan. Sidang Parlimen secara hibrid ini dilaksanakan dengan jayanya di beberapa negara demokrasi lain seperti Britain.

Baru-baru ini, YDPA telah menerima menghadap ketua-ketua dan wakil-wakil parti politik dan juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bagi mendapatkan pandangan berkaitan isu-isu darurat dan pentadbiran negara. Baginda juga telah mempengerusikan persidangan khas Majlis Raja-Raja dan telah bertitah bahawa Parlimen harus dibuka dengan kadar segera bagi membolehkan Parlimen menjalankan fungsi yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang asas negara ini. Titah YDPA tersebut harus diberi perhatian serius oleh semua pihak terutama kerajaan dan juga Parlimen. Negara demokrasi yang menggantung sidang Parlimen memberi gambaran yang tidak baik terutama dari segi governans dan tabdir urus yang berintegriti. Penggantungan ini juga memberi impak negatif terhadap kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

Kerajaan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara untuk membawa Malaysia keluar dari cengkaman COVID-19 secara berfasa dengan indikator-indikator tertentu, seperti purata jumlah jangkitan harian, jumlah penggunaan katil ICU di hospital-hospital dan jumlah vaksinasi yang telah diberikan. Kerajaan  harus memperincikan strategi yang akan dilaksanakan bagi mencapai indikator-indikator tersebut. Dalam keadaan di mana sistem perkhidmatan kesihatan berada di tahap maksimum dan anggota-anggota barisan hadapan yang keletihan, strategi yang jelas akan membantu rakyat mencapai indikator yang telah ditetapkan.

Semua pihak telah dan sedang berusaha untuk melandaikan kelok jangkitan COVID-19. Namun  peperangan masih berterusan. Semua pihak harus terus berjuang dengan mematuhi Prosedur Operasi Standad (SOP) yang telah ditetapkan. Pengorbanan untuk mengenepikan keselesaan dan lain-lain norma kehidupan amat dituntut buat masa ini. Sekarang adalah masa yang dituntut terhadap golongan yang berada untuk membantu golongan yang sengsara akibat COVID-19.

Berkat usaha dan doa semua pihak, cahaya di hujung terowong akan kelihatan lebih besar dalam masa terdekat.

 

Penulis adalah mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC

 

 

 

 

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

33  −    =  31