Penghantar makanan turut lemas selamatkan remaja

 Penghantar makanan turut lemas selamatkan remaja

Anggota bomba mengangkat dua mayat lelaki yang terjatuh dalam longkang dan dihanyutkan arus deras berhampiran Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang, semalam. WMY/Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 26 Jun — Seorang remaja dan seorang penghantar makanan ditemukan lemas apabila dihanyutkan arus deras di sebuah longkang di Taman Cendana, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4.14 petang, Mohd. Johan Akmal Jamil, 13, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun bermain di kawasan longkang tersebut sebelum remaja itu terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemudian seorang penghantar barang, Mohd. Asraf Mohd. Hisham Tan, 32, cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke dalam longkang berkenaan, namun dia turut dibawa arus deras.

“Kedua-dua mangsa kemudian ditemukan meninggal dunia manakala kanak-kanak berusia sembilan tahun itu selamat. Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang menemukan mayat Mohd. Johan dan Mohd. Asraf masing-masing pada jarak 50 dan 70 meter dari tempat mereka jatuh.

Sementara itu, abang Mohd. Asraf, iaitu Mohd. Izhar berkata, ketika kejasian adiknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja.

Adiknya yang merupakan bapa kepada empat cahaya mata dikatakan ternampak remaja itu terjatuh dan tanpa berlengah cuba menyelamatkannya.

“Adik saya bekerja sebagai ‘runner’, ketika dia dalam perjalanan pulang, dia ternampak seorang remaja lelaki terjatuh ke dalam longkang.

“Dia terus terjun ke dalam longkang berkenaan bagi membantu menyelamatkan remaja tersebut.

“Bagaimanapun air terlalu deras ketika itu menyebabkan dia turut dihanyutkan sekali,” katanya ketika ditemui.

Mohd. Izhar berkata, adiknya meninggalkan seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak berusia antara enam bulan hingga lima tahun.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

37  +    =  44