Penghantar makanan maut kemalangan tiga kenderaan

 Penghantar makanan maut kemalangan tiga kenderaan

Seorang penghantar makanan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kulai, semalam.

KULAI, 21 Jul  — Seorang penghantar makanan maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan dua buah kereta di Kilometer 30, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini semalam.

Kemalangan jam 5.50 petang itu membabitkan motosikal mangsa dengan dua kereta jenis Honda dan Chevrolet.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Honda memandu secara laju dari lorong sebelah kiri di lokasi kejadian.

“Pemandu Honda itu kemudiannya menukar laluan terus ke lorong sebelah kanan dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian kiri tayar depan kereta jenis Chevrolet yang ketika itu berada di lorong kanan.

“Kereta Honda itu kemudiannya memasuki lorong bertentangan jalan dan telah melanggar penunggang motosikal yang berada di laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave berumur 33 tahun maut di lokasi kejadian, manakala pemandu Honda yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk menerima rawatan.

Pemeriksaan di lokasi mendapati keadaan jalan raya kering manakala aliran trafik ketika itu tidak terlalu sibuk.

Kenderaan terbabit akan dibawa ke Puspakom Sdn. Bhd., (Puspakom) Senai untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *