Penghantar makanan dihukum gantung edar Kanabis

 Penghantar makanan dihukum gantung edar Kanabis

Izad Shahizal dibawa keluar selepas dijatuhkan hukuman gantung atas kesalahan mengedar kaabis di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung terhadap seorang penghantar makanan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 764.90 gram, empat tahun lalu.

Izad Shahizal Pungot, 41, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakiman ringkas, Hakim Ahmad Kamal berkata tertuduh didapati bersalah dan pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap kegiatan pengedaran dadah.

Izad Shahizal yang merupakan bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah pada jam 9.30 malam, 16 Januari 2018.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 2019, seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil memberi keterangan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam, Shaik Saleem S.M. Daud.

Sementara itu, Muhammad Syafiq memberitahu, sejumlah dadah berkenaan ditemukan di tiga lokasi berlainan di kediaman mangsa ketika polis menjalankan penggeledahan.

“Ketika pemeriksaan dibuat, dadah berkenaan ditemukan di tiga lokasi berlainan iaitu di bawah tilam bilik tidur utama dan bilik tidur kedua serta di bawah kabinet dapur,” katanya ketika ditemui di luar bilik mahkamah.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *