Penghantar barang gagal samun pekerja kedai telefon

 Penghantar barang gagal samun pekerja kedai telefon

Oleh Nurman Nasyriq

ISKANDAR PUTERI 27 Mac – Seorang penghantar barang gagal menyamun seorang pekerja kedai telefon ketika berjalan kaki di tepi jalan besar Taman Teratai Kangkar Pulai, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa, 20, tidak menyedari kehadiran suspek yang menunggang motosikal dari arah belakang.

Suspek kemudian cuba merampas telefon bimbit yang dipegang mangsa di tangan sebelah kanan namun cuba melawan dan berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut telah memberi pertolongan kepada mangsa.

“Suspek yang memakai jaket dan helmet warna hitam berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di tempat kejadian.

“Akibat pergelutan tersebut mangsa mengalami luka di kedua-dua tangan dan lutut. Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Gerakan mengesan suspek telah dijalankan, sepasukan polis daerah Iskandar Puteri telah berjaya menangkap suspek di sebuah tempat mencuci kereta di kawasan Kangkar Pulai selepas setengah jam laporan dibuat.

“Motosikal yang digunakan semasa kejadian telah dirampas sebagai barang bukti. Motosikal itu milik kakak ipar suspek tetapi nombor pendaftaran yang digunakan adalah milik motosikal ayah suspek,” katanya.

Soal siasat mendapati suspek adalah pekerja penghantar barang dan mengaku terlibat dalam kes tersebut.

“Suspek mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

61  −  55  =