Penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus – KKM

 Penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus – KKM

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 5,150 kes baharu COVID-19 di Malaysia dicatatkan hari ini dan 924 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Walaupun  terdapat  penurunan  kes  baharu harian bagi tempoh dua (2) minggu lockdown COVID-19 iaitu mulai 1 Jun  2021, di ICU masih  tidak  menunjukkan kes kes penurunan  yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hal ini berikutan kemunculan varian baharu yang kes dikesan dengan gejala serius (kategori 4 dan 5) dan merosot pada kadar yang lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas serta penyakit (comorbidity pesakit yang menghidap penyakit lain-lain),” katanya.

Penggunaan  kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

Selain itu, penggunaan katil yang melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius.

Secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan di ICU adalah di antara 19 hari ke 26 hari.

Sebanyak 7,240 kes sembuh turut direkodkan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 73 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 33 kes di Selangor, masing-masing enam (6) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Negeri Sembilan, dan Sarawak, empat (4) kes di Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing tiga (3) kes di Sabah, Melaka, dan Johor, dua (2) kes di Pahang, serta  satu (1) kes di Kelantan.

Sementara itu, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin telah memasukkan beberapa indikator ambang utama termasuk kadar penggunaan katil di Wad ICU.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  76  =  83