Pengguna di Malaysia belum benar-benar praktik hak mereka – Nanta

 Pengguna di Malaysia belum benar-benar praktik hak mereka – Nanta

PUTRAJAYA, 15 Mac — Indeks Pendayaupayaan Pengguna di negara ini berada pada tahap sederhana iaitu 63.1 peratus, yang menunjukkan pengguna di Malaysia masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Berucap sempena Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan 2021 hari ini, beliau berkata kementerian akan terus merangka program advokasi di setiap peringkat masyarakat bagi menangani isu kepenggunaan semasa.

“Usaha ini akan sentiasa menjadi antara keutamaan kementerian dalam melaksanakan strategi lebih berkesan yang dapat memberi kuasa kepada pengguna untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup yang lebih lestari serta dapat menangani isu kepenggunaan yang secara langsung mempengaruhi kehidupan seharian mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan itu secara maya.

Berkongsi beberapa program yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nanta berkata ia merupakan langkah proaktif kementerian dalam memastikan hak-hak pengguna terpelihara.

Menurutnya, aplikasi Price Catcher dibangunkan bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan harga manakala aplikasi MySales Tracker pula membolehkan pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah di kawasan berhampiran mereka.

KPDNHEP juga menyediakan sembilan saluran aduan untuk pengguna menyalurkan sebarang isu berkaitan kepenggunaan, katanya.

Mengenai Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang merupakan platform alternatif untuk pengguna menfailkan tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan, Nanta berkata sebanyak 32,550 kes pemfailan direkodkan dari 2015 hingga Februari lepas, melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM176.03 juta.

Nanta dalam pada itu berkata tahun ini, buat julung kalinya negara menyambut Hari Pengguna Kebangsaan serentak dengan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia iaitu pada 15 Mac.

Dengan tema ‘Menangani Pencemaran Plastik’ yang dipilih untuk Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini, Nanta berkata isu pencemaran merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini ekoran pengurusan bahan buangan yang tidak berhemah.

Menurutnya kajian World Wide Fund for Nature (WWF) pada 2019, menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara tertinggi di Asia menggunakan plastik dengan purata penggunaan setiap individu ialah 16.78 kg setahun berbanding China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  7  =  9