• Sunday, 20 June 2021, 11:52 am

Pengguna desak pengerusi Prasarana lebih bertanggungjawab

 Pengguna desak pengerusi Prasarana lebih bertanggungjawab

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Susulan kejadian melibatkan dua buah tren transit aliran ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya semalam, pengguna mendesak pengerusi Prasarana Malaysia Berhad ( Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanggungjawab.

Tinjauan Wacana.my ke stesen LRT KLCC, Ampang dan Kg Baru mendapati rata-rata pengguna kecewa dengan kejadian yang berlaku dan mahu Tajuddin hentikan berpolitik.

Sebaliknya pengguna mahu Tajuddin selaku pengerusi Prasarana untuk meletakkan jawatan.

Marisa Fadil

Seorang penumpang bernama Marisa Fadil, 42, mempersoalkan kewibawaan Tajuddin dan samada beliau memahami masalah sebenar.

“Apa guna bantuan RM1,000 kepada mangsa jika nyawa lebih ramai lagi penumpang turut dalam bahaya sekiranya perkara sama berulang?” tanya beliau.

“Apakah jaminan yang diberi Tajuddin dan syarikat Prasarana bahawa perkara sama tidak berulang? Kerosakan tren bukan pertama kali berlaku dan kejadian semalam telah melibatkan ratusan penumpang,” katanya lagi.

Tambah Marisa kini pengguna lain yang masih perlu menggunakan perkhidmatan tren tersebut terjejas dari segi masa dan kos pengangkutan.

“Pagi tadi kerana waktu menunggu bertambah akibat perubahan jadual tren, saya terpaksa menggunakan khidmat teksi kerana di rumah saya tiada laluan bas manakala stesen tren pula penuh.”

Marisa berkata beliau turut bimbang peningkatan jumlah penumpang yang terpaksa menunggu lama di stesen boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

“Saya terpaksa keluarkan kos tambahan untuk ke tempat kerja sedangkan dengan keadaan sekarang kita semua tahu rakyat semakin susah,” katanya kesal.

Seorang lagi penumpang tren, Chris Ng, 32, yang bekerja di KLCC sebagai eksekutif perhubungan pelanggan berkata kerosakan tren LRT sudah menjadi kebiasaan kepada pengguna harian namun kejadian semalam amat mengecewakan.

Chris Ng

“Setiap hari kita akan bertembung dengan rakan-rakan seangkatan yang sama-sama menaiki tren, tetapi sejak pagi tadi rakan yang sering saya tegur walaupun tidak bekerja di tempat sama sudah tidak ada. Dia cedera semalam,” katanya.

Tambah Chris setakat yang dia tahu, lebih 20 orang kenalannya terlibat di dalam kemalangan yang melibatkan lebih 200 orang mangsa.

“Sebelum ini kita selalu dengar tren rosak, dan syarikat sediakan  ‘feeder bus’ namun saya pelik mengapa mereka tidak selenggara dengan lebih baik?” soalnya.

Seperti Marisa, Chris juga mahu pengerusi Prasarana bertanggungjawab.

“Jika di luar negara tren lambat 1 minit pun pihak pengurusan sudah tak senang duduk, apatah lagi jika berlaku kemalangan seperti semalam mereka sudah pasti letak jawatan, malu tak tahu mana nak taruk muka, tetapi sekarang pengerusi Prasarana seperti menyalahkan pekerja bawahan yang bertindak mengikut arahan, bagaimana boleh begitu?” soal Chris.

Sementara itu tular di laman sosial rakyat mendesak Tajuddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi Prasarana kerana lewat membuat kenyataan seolah-olah tidak peka dengan apa yang telah berlaku. Ramai netizen juga yang menegur cara beliau membuat kenyataan media hari ini kerana disifatkan tidak begitu profesional dan tidak menghormati mangsa yang terlibat.

Wacana.my masih mencuba untuk mendapatkan reaksi Prasarana dan Tajuddin pada masa ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *