Penggiat seni kreatif marah, hantar petisyen ke Finas

 Penggiat seni kreatif marah, hantar petisyen ke Finas

Oleh Suraya Ali

Kuala Lumpur, 16 Feb : Perselisihan pendapat antara kepemimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan sebahagian penggiat industri kreatif semakin hangat diperkatakan.

Terkini, pengarah filem, Al Jafree Md Yusop menyuarakan ketidak puashatian di kalangan penggiat industri seni kreatif yang didakwa semakin tenat sehingga mendorong beberapa komuniti seni kreatif itu menulis satu petisyen dalam FB, minggu lalu.

Petisyen terbuka itu ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Pejabat Perdana Menteri.

Perbalahan kedua-dua pihak itu semakin memuncak apabila kru belakang tabir dan barisan pengarah filem mendakwa Finas gagal menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kelangsungan industri kreatif.

Al Jafree mendakwa, masalah berpunca pada 11 Januari lalu apabila Ketua Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri, membuat satu kenyataan pihaknya akan mengemukakan dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan kerja-kerja perfileman dapat diteruskan.

“Namun sehingga 2 Februari lalu, tidak ada satu pun SOP yang dikemukakan Finas kepada MKN. Setelah mendapat bantahan dan dipersoalkan oleh penggiat industri, barulah Finas mengemukakan SOP kepada MKN pada 8 Februari seperti  diumumkan Menteri Kanan pada 9 Februari,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.

Menurut beliau, SOP yang dikemukakan oleh Finas bukan sahaja tidak membantu malah mengelirukan banyak pihak termasuk penggiat industri dan penguatkuasa.

“Sebagai contoh, British Film Commission di United Kingdom mengeluarkan satu SOP sebanyak 55 muka surat menjelaskan secara terperinci segala definisi dan keperluan industri di sana berbanding dengan SOP Finas yang hanya dimuatkan dalam 1 muka surat,” katanya.

Al Jafree turut mempersoalkan tempoh 1 bulan yang diambil oleh Finas untuk menghasilkan SOP ringkas dan tidak lengkap itu.

“Yang memburukkan lagi keadaan, apabila penggiat industri mula marah dan mempersoalkan mereka, mulalah mereka melakukan pelbagai cara bagi menutup kelemahan mereka,” katanya.

Tambah beliau, sepatutnya Finas yang sudah lebih 40 tahun diwujudkan untuk membantu industri perfileman negara sudah memiliki pelan jangka panjang dan setakat ini tiada satu yang dikemukakan.

Ditanya berkenaan inisiatif Finas membantu penggiat industri yang terkesan dengan pandemik COVID-19, Al Jafree berkata mengakui ada inisiatif Finas namun tidak menyeluruh dan tidak dirancang dengan baik.

“Jika mereka mempunyai pelan perancangan masa depan yang baik, perkara sebegini tidak akan berlaku,” katanya.

Menjawab soalan lain, Al Jafree berkata: “Asalkan orang itu memiliki minat yang mendalam dan benar-benar mengambil berat tentang industri filem negara, dia lebih layak menerajui Finas, seperti yang berlaku di Filipina apabila kerajaan negara itu melantik seorang pengarah filem bebas untuk membawa perubahan kepada industri filem di sana.”

Al Jafree berkata, perkara yang sama berlaku di Perancis apabila Cinematheque France melantik pengarah Costa-Gavras untuk mengepalai badan filem itu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  7  =