Pengenalan ringkas takwim Syamsiyah & Qamariyah

 Pengenalan ringkas takwim Syamsiyah & Qamariyah

“DAN Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.” (Surah Al-Isra’, ayat 12)

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).” (Surah Yunus ayat 5)

Definisi takwim atau kalendar secara umumnya adalah sistem susunan masa yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan minggu menjadi hari. Kepentingan takwim ini berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia yang meliputi aktiviti sosial dan keagamaan. Sistem kalendar menjadikan kehidupan manusia lebih terurus dan teratur sama ada di dalam bidang ekonomi, perundangan, politik hingga kepada hubungan antarabangsa. Bagi orang-orang Islam pula, sebagai contoh, ibadah solat sangat bergantung kepada takwim bagi memudahkan penentuan waktu untuk menunaikannya.

Khalifah Umar Ibn Al-Khattab (586 – 644M), Khalifah Islam kedua telah memperkenalkan takwim hijrah pada 638 Masihi, dengan mengambil kira permulaan tahun pertama Hijri daripada tahun penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada 622 Masihi.

Kalendar Miladiah pula yang berasal daripada Kalendar Julian (Julius Ceasar) telah wujud sejak 46 SM. Walaupun begitu ia hanya mula digunakan secara rasmi setelah melalui beberapa pengubahsuaian oleh Pope Gregory XIII pada 1545 Masihi. Ianya dikenali selepas pengubahsuaian sebagai takwim Gregorian.

Secara umumnya terdapat dua takwim yang diguna pakai di seluruh dunia ketika ini. Pertama adalah takwim Syamsiyah (solar) iaitu menggunakan pergerakan matahari sebagai rujukan. Manakala yang kedua, takwim Qamariyah (lunar) iaitu menggunakan pergerakan bulan sebagai rujukan. Bagi orang China, mereka menggunakan gabungan kedua-dua pergerakan objek tersebut sebagai rujukan dikenali sebagai takwim luni-solar.

Perkiraan bermulanya hari baharu dalam takwim Syamsiyah atau Miladi adalah pada waktu tengah malam iaitu jam 12 malam. Ia bermula dengan Januari, Februari, Mac, April, Mei Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember. Bilangan hari pada setiap bulan berselang seli dengan 31 dan 30 hari dan pada Februari mempunyai bilangan sama ada 28 atau 29 hari. Dalam setahun, jumlah hari adalah sebanyak 365 dan setiap empat tahun menjadi tahun lompat yang mengandungi 366 hari.

Berbeza dengan takwim Qamariyah iaitu hari bermula pada waktu Maghrib ketika waktu matahari terbenam. Jumlah bulan dalam setahun adalah 12 bulan iaitu Muharram, Safar, Rabi’ al-Auwal, Rabi’ al-Akhir, Jumada al-Ula, Jumada al-Akhirah, Rajab, Sya’ban, Ramadan, Syauwal, Zu al-Qa’dah dan Zu al-Hijjah. Takwim ini mempunyai 29 atau 30 hari sebulan bergantung kepada kewujudan atau kenampakan hilal (anak bulan) pada penghujung bulan qamariah iaitu hari ke 29 setiap bulan Hijriah mengikut syarat-syarat tertentu. Secara fizikal, ijtimak berlaku ketika bulan berada di tengah antara bumi dengan matahari. Ketika itu bahagian bulan yang bercahaya mengadap ke matahari, manakala bahagian yang gelap mengadap arah bumi. Ijtimak adalah pemisahan antara fasa bulan lama dengan bulan baharu.

Bilangan hari dalam setahun pula mempunyai 354.36 berbeza dengan takwim Miladi sebanyak 10 atau 11 hari. Oleh itu setiap tahun, hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidilfitri akan berlaku di dalam musim yang berlainan. Ianya akan kembali ke musim yang berpatutan  setiap 30 tahun (satu pusingan lengkap kitaran takwim Hijri).

Bagaimanapun, di Malaysia penggunaan Takwim Syamsyiah/Miladi dilihat lebih dominan dan digunakan oleh kebanyakan lapisan masyarakat. Bagi umat Islam di Malaysia keperluan kepada takwim Qamariah/Hijri hanya terhad skopnya terutama kepada tiga bulan sahaja iaitu Ramadan, Syauwal dan Zu al-Hijjah.

Penggunaan takwim Hijri ini seharusnya diberi perhatian, kajian dan pengemaskinian lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan soal hukum hakam di dalam Islam. Persoalan yang mempunyai hubung kait dengan fiqh, contohnya tentang hawl (tempoh masa setahun qamari yang dijadikan syarat mengeluarkan zakat), tempoh iddah, tempoh mengandung, umur baligh, hadhanah, penyusuan dan sebagainya adalah lebih tepat jika merujuk kepada takwim ini.

Justeru, adalah amat penting kepada pihak yang berautoriti terutama yang menjaga hal ehwal agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa di peringkat negeri-negeri untuk melihat kembali ke arah memartabatkan takwim Hijri dengan lebih meluas terutama di kalangan umat Islam.

 

Teks ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

64  −    =  60