Pengedar ditahan, sembunyi rokok seludup dalam rumah

 Pengedar ditahan, sembunyi rokok seludup dalam rumah

JOHOR BAHRU 29 Jan 2022 – Penduduk Kampung Ungku Mohsin Kampung Baru, Bayu Damai gempar apabila sebuah rumah di situ diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.

Mereka tidak menyangka rumah berkenaan yang kelihatan seperti biasa dari luar rupa-rupanya dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup untuk dipasarkan di kawasan berdekatan.

Pegawai Pemerintahnya, Superintenden Dimin Awang berkata, penahanan suspek berusia 39 tahun itu turut membawa kepada penemuan dan rampasan 2,620 karton rokok disyaki tidak bercukai dianggarkan bernilai RM257,344.

“Suspek ditahan ketika sedang memandu keluar dari rumah tersebut menaiki Toyota Avanza dan hasil pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan itu telah menemukan 15 kotak besar mengandungi mercun.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan kemudiannya menemukan sejumlah lagi barangan larangan berupa rokok tidak bercukai yang disembunyikan suspek dalam rumah berkenaan.

“Anggaran nilai rokok dirampas adalah sebanyak RM 257,344 dengan nilai cukai dilarikan bernilai RM408,752 selain jumlah anggaran nilai rampasan mercun bernilai RM12,400,” katanya dalam satu kenyataan, semalam

Dimin berkata, siasatan awal mendapati bekalan rokok tidak bercukai itu dipercayai untuk dijual di kedai-kedai runcit di sekitar kawasan berkenaan.

“Kita percaya penahanan suspek dan kesemua bekalan yang dirampas ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Johor Bahru.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1