Pengawal keselamatan kuatkan semangat sambut kelahiran bayi

 Pengawal keselamatan kuatkan semangat sambut kelahiran bayi

Jamiah Isnin bersyukur dizinkan Allah menyambut kelahiran bayi perempuan di sebuah sekolah kebangsaan di Masjid Tanah

MASJID TANAH, 2 Dis – Meskipun tanpa pengalaman menyambut kelahiran bayi sebelum ini, pengawal keselamatan, Jamiah Isnin, 55, menguatkan semangat untuk berbuat demikian.


Doa Nabi Yunus ketika berada di dalam perut ikan paus yang dibacanya, membantunya menyambut kelahiran bayi perempuan di sebuah sekolah kebangsaan di sini, Isnin lalu.


Berkat doa itu dan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, Jamiah berjaya menyambut kelahiran bayi seberat tiga kilogram (kg) selepas ibu bayi berkenaan yang berusia 37 tahun tidak sempat dibawa ke hospital.


Menelusuri pengalaman amat mendebarkan itu, ibu kepada lima anak berusia antara 18 hingga 34 tahun itu berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, dia yang berada di pondok pengawal keselamatan diminta seorang guru supaya segera ke sebuah bilik di blok murid pra sekolah.


“Setibanya di bilik itu, saya lihat seorang pembantu pengurusan murid (PPM) pra sekolah sudah terbaring di atas meja sambil menahan kesakitan ingin melahirkan bayi kerana air ketuban sudah pecah.


“Saya memintanya menegakkan kaki dan kangkang luas-luas sambil meneran bayi dan saya membaca doa Nabi Yunus dalam perut ikan paus dan alhamdulillah, tidak sampai 10 saat, tiba-tiba kepala bayi sudah keluar dan saya terus menyambutnya,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan hari ini.


Jamiah berkata, dalam keadaan tangannya berlumuran darah, dia dibantu seorang kerani yang hanya dikenali sebagai Zailan untuk menarik tali pusat bagi mengeluarkan uri. Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka kerana ketika bergelut untuk menarik tali pusat itu, dua jururawat yang menaiki ambulans tiba, sekali gus membuatkan Jamiah dan Zailan menarik nafas lega, katanya.


Dia berkata, ketika jururawat menarik tali pusat untuk mengeluarkan uri, dia sekali lagi membaca doa berkenaan dengan lebih kuat dan uri berjaya dikeluarkan dalam keadaan sempurna.

Bayi perempuan seberat tiga kilogram diazankan ustaz di sebuah sekolah kebangsaan di Masjid Tanah.


“Dalam keadaan kelam kabut dan tubuh yang agak gementar itu baharulah saya teringat, arwah ibu saya, Allahyarhamah Saerah Sudin adalah bidan kampung dan mungkin saya sedikit sebanyak mewarisi ilmu menyambut bayi daripadanya,” katanya.


Jamiah berkata, arwah ibunya dikenali dalam kalangan anggota masyarakat Kampung Rantau Panjang, di sini sebagai bidan kampung yang membantu ramai wanita melahirkan bayi, termasuk bayi yang dalam keadaan songsang.


Katanya, selepas tugas memotong tali pusat selesai, Zailan memandikan bayi berkenaan daripada kesan darah dan air ketuban.


“Kami amat bersyukur kerana Allah mengizinkan si ibu melahirkan bayi dalam keadaan selamat dan saya sendiri seolah-olah sukar untuk percaya saya menyambut bayi perempuan sedangkan selama ini saya tidak pernah berbuat demikian,” katanya.


Bayi berkenaan diazankan oleh ustaz di sekolah berkenaan sebelum dibawa bersama-sama ibunya ke Hospital Alor Gajah.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

63  +    =  73