• Thursday, 17 June 2021, 1:09 pm

Pengadil Malaysia diiktiraf FIFA

 Pengadil Malaysia diiktiraf FIFA

Kredit foto FAM

KUALA LUMPUR, 3 Jun. – Bukan skuad Harimau Malaya sahaja yang akan beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malah pengadil Malaysia turut akan ‘beraksi’ pada perlawanan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa tiga pengadil kebangsaan telah dipilih Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk bertugas sepanjang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Tambahnya, seorang lagi pengadil Malaysia pula dipilih Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk mengendali perlawanan di negara matahari terbit itu.

“Pengadil kebangsaan, Zairul Khalil Tan akan bertugas di dalam Kumpulan A di Sharjah, UAE sebagai penolong pengadil manakala Pengadil FIFA Amirul Izwan Yaacob dan Mohamad Yusri akan mengendalikan saingan di dalam Kumpulan B, masing-masing sebagai pengadil dan penolong pengadil perlawanan,”

“Sementara itu, Mohd Arif Shamil pula dilantik sebagai penolong pengadil bagi dua perlawanan Kirin Challenge Cup 2021 dan satu perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan pasukan Jepun menentang pasukan Jepun B-24 di Sapporo Dome, Hokkaido,” katanya menerusi kenyataan media.

Pusingan Kedua Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 terdiri daripada pasukan seperti China, Syria, Filipina, Maldives dan Guam bermula 30 Mei lalu manakala Kumpulan B pula terdiri daripada pasukan seperti Australia, Jordan, Taiwan, Kuwait dan Nepal dijadualkan sepak mula pada esok.

Skuad Harimau Malaya berada di pusingan kedua Kumpulan G dan akan memulakan usaha untuk membawa negara ke pentas piala dunia hari ini menentang UAE pada jam 12.45 pagi.

Malaysia kemudian akan menentang Vietnam pada 12 Jun dan Thailand pada 16 Jun.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *