Penentuan solat lima waktu

 Penentuan solat lima waktu

SOLAT adalah tiang ibadah bagi seseorang yang bergelar Muslim. Mendirikan solat memerlukan pengetahuan mengenai masuknya waktu setiap solat yang hendak didirikan. Ini bertepatan dengan dalil Al-Quran di dalam surah An-Nisa’ Ayat 103, maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya.”

Waktu solat adalah penentu kepada syarat sah solat. Bersolat tatkala belum masuk waktu atau bersolat di luar waktu menjadikan solat yang didirikan adalah tidak sah. Amatlah penting setiap Muslim mengetahui waktu bermulanya solat dan bilakah ia berakhir. Waktu solat fardu adalah Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Justeru, mencari waktu solat yang tepat adalah dituntut.

Penentuan waktu solat adalah berdasarkan kedudukan pergerakan ketara matahari harian sebagai rujukan berdasarkan beberapa dalil dari al-Quran dan hadis, antaranya:

“Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau redha (dengan mendapat sebaik-baik balasan).” (Thoha, ayat 130).

“Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).” ( Al-Isra, ayat 78)

Manakala telah diterangkan di dalam hadith dari Jabir bin Abdullah r.a berkata: “Telah datang kepada Nabi Jibrail a.s lalu berkata kepadanya, bangunlah dan solatlah, kemudian Nabi solat Zuhur di kala matahari tergelincir. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu Asar lalu berkata, bangunlah dan solatlah. Kemudian Nabi solat Asar di waktu bayang sesuatu sama dengannya. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu Maghrib, lalu berkata bangunlah dan solatlah, kemudian Nabi solat Maghrib di waktu matahari terbenam. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu Isyak lalu berkata, bangunlah dan solatlah. Kemudian Nabi solat Isyak di waktu cahaya senja telah terbenam. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu fajar lalu berkata, bangunlah dan solatlah. Kemudian Nabi solat fajar di waktu fajar menyinsing, atau dia berkata di waktu fajar bersinar. Kemudian dia datang pula keesokan harinya pada waktu Zuhur, kemudian berkata kepadanya, bangunlah dan solatlah. Kemudian Nabi solat Zuhur di waktu bayang sesuatu sama dengannya. Kemudian datang lagi kepadanya di waktu Asar dan ia berkata, bangunlah dan solatlah. Kemudian Nabi solat Asar di waktu bayang sesuatu dua kali tingginya. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu Maghrib dalam waktu yang sama, tidak bergeser dari waktu yang sudah. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu Isyak di waktu telah berlalu separuh malam, atau dia berkata telah hilang sepertiga malam, kemudian Nabi solat Isyak. Kemudian dia datang lagi kepadanya di waktu fajar telah bercahaya benar dan dia berkata, bangunlah dan solatlah, kemudian Nabi solat fajar. Kemudian Jibrail berkata, saat di antara dua waktu itu adalah waktu solat.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, An Nasaiy dan At Tarmidzi)

Waktu solat berpandukan kepada pergerakan harian matahari terbit dan terbenam di mana akan berlaku keadaan matahari akan berada di meridian tempatan (garisan utara ke selatan di topografi bumi yang diunjurkan ke langit) yang dinamakan waktu istiwa’ (transit). Mengikut perkiraan ahli astronomi tempoh masa antara waktu istiwa’ dan waktu perlintasan ini secara purata selama 1 minit 04 saat.

Waktu Zuhur bermula apabila keseluruhan bulatan matahari telah melepasi Meridian tempatan, ataupun lebih dikenali sebagai gelincir matahari atau ‘zawal’.

Secara amali, waktu istiwa’ boleh ditentukan dengan melihat bayang satu tiang tegak. Sebelum istiwa’, matahari berada di langit timur dan bayang tiang akan jatuh ke sebelah barat. Apabila bayang tiang berada pada garisan utara ke selatan (atau dalam keadaan tertentu, tiada bayang) menunjukkan masuk waktu istiwa’. Waktu Zuhur bermula sebaik sahaja panjang bayang beralih ke sebelah timur atau bayang tiang telah kelihatan semula.

Manakala waktu Asar bermula apabila panjang bayang sesuatu tiang sama dengan ukuran panjang tiang berkenaan. Bagaimanapun, disebabkan bayang ketika waktu istiwa’ telah sedia wujud, panjang bayang waktu asar hendaklah dicampurkan panjang bayang waktu istiwa’ itu.

Waktu Maghrib pula bermula apabila keseluruhan bulatan matahari telah terbenam di ufuk ketara tempatan. Dan waktu Isyak pula bermula apabila langit telah gelap sepenuhnya.

Waktu Subuh pula bermula apabila kelihatan cahaya fajar saddiq di ufuk timur berhampiran dengan terbitnya matahari. Fajar saddiq boleh dikenali dengan keadaan cahayanya yang melintang, berbanding dengan fajar kazib dengan bentuk serakan cahayanya yang menegak.

Bagaimanapun, di Negeri Sembilan, waktu solat telah dibuat perkiraan dan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi memudahkan dan sebagai rujukan umat Islam di negeri ini.

Teks ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

51  −    =  42