• Sunday, 20 June 2021, 2:41 pm

Penduduk Taman Scientex ‘diancam’ hakisan tanah

 Penduduk Taman Scientex ‘diancam’ hakisan tanah

PASIR GUDANG, 9 Jun — Kira-kira 5,000 penduduk Taman Scientex, di sini bimbang dengan masalah hakisan tanah yang berlaku di belakang kediaman mereka yang mengancam nyawa jika tindakan segera tidak diambil pihak pemaju.

Seorang penduduk, Mohd. Zulfazli Mohd. Jalil, 34, mendakwa, kejadian itu berlaku sejak Januari lalu selepas musim tengkujuh hujung tahun lalu dan kawasan yang paling terjejas adalah di Jalan Kedidi 31 dan Jalan Kedidi 1.

Pekerja kilang berkenaan khuatir jika hujan lebat terus berlaku akan menyebabkan hakisan lebih buruk sehingga boleh mengakibat rumah penduduk runtuh.

“Terdapat hampir enam buah rumah penduduk di belakang tebing yang curam dan terhakis berada dalam keadaan bahaya di Jalan Kedidi 31. Keretakan bukan sahaja dalam rumah, malah simen belakang rumah sudah pecah dan runtuh akibat mendapan tanah.

“Seorang penduduk di Jalan Kedidi 31 terpaksa menyewa rumah lain kerana belakang rumahnya sudah mendap dan berlubang di bawahnya selain dinding retak, manakala paip pula pecah akibat tanah runtuh,” katanya ketika ditemui di sini.

Shahrizam Zakaria, 32, pula memaklumkan bahawa masalah berkenaan telah diajukan kepada pemaju, namun tiada tindakan jangka masa panjang dilakukan.

Beberapa orang penduduk menunjukkan tanah yang terhakis dan membahayakan keselamatan di belakang rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang

“Mereka hanya memasang kanvas dan selepas itu tidak berbuat apa-apa lagi walaupun penduduk sudah banyak kali mengadu masalah itu. Malah kanvas yang dipasang juga sudah reput, koyak dan tanah terus terhakis,” katanya.

Dia yang merupakan seorang guru berkata, pemaju sering bersikap berdolak-dalih, memberikan pelbagai alasan dan melambat-lambatkan tindakan supaya tempoh jaminan rumah di kawasan itu tamat.

“Apabila tamat mereka tidak perlu berbuat apa-apa lagi kerana tempoh jaminan pembelian rumah yang berusia dua tahun sudah habis. Pemaju selepas itu akan meletakkan kesalahan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lepas tangan,” katanya.

Iskandar Nadirin, 34, turut kesal kerana pemaju atau wakil mereka tidak pernah melihat sendiri keadaan hakisan tanah dan sering kali mengelak apabila mahu bertemu di pejabat pemaju malah aduan dikemukakan diminta ditarik balik.

“Sekarang ini mereka gunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak hadir ke lokasi tanah runtuh sedangkan masalah ini melibatkan keselamatan penduduk. Wakil pemaju juga salahkan pihak lain yang tiada kena mengena dengan punca masalah ini,” katanya.

Mohd. Azarul Sabar, 39, berkata, masalah hakisan tanah di belakang rumah Jalan Kedidi 1 dibuat dengan meletakkan batu dan kayu bakau sedangkan kediaman tersebut serta lereng bukit perlu dibaiki.

“Sepatutnya mereka baikinya untuk tempoh masa panjang dan bukan dengan memancang kayu bakau yang tajam di lereng bukit, ini membahayakan terutamanya kanak-kanak yang bermain di belakang rumah,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *