• Sunday, 20 June 2021, 9:16 am

Penduduk Orang Asli Kampung Gumum larang orang luar masuk kampung

 Penduduk Orang Asli Kampung Gumum larang orang luar masuk kampung

PEKAN, 7 Jun — Penduduk Orang Asli Kampung Gumum di sini, memasang penghadang jalan dan nota amaran bagi menyekat kemasukan orang luar tanpa urusan ke kampung mereka.

Batin kampung berkenaan, Awang Alok berkata mereka hanya membenarkan orang luar yang mempunyai urusan tertentu sahaja masuk ke kampung ini demi menjaga keselamatan penduduk daripada dijangkiti wabak COVID-19.

Menurutnya, selain pelancong orang luar yang datang ke Kampung Gumum bagi mendapatkan hasil hutan selain bertemu keluarga dan rakan.

Katanya, walaupun kerajaan melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun penduduk berharap aktiviti keluar masuk orang luar ke Kampung Gumum dapat dihadkan serta tidak terlalu bebas.

“Lebih baik kita beringat awal sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kerana wabak COVID-19 terlalu mudah berjangkit sekiranya tidak ada langkah pencegahan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya lihat bukan Kampung Gumum sahaja melarang orang luar datang ke kampung kami tetapi banyak lagi kampung Orang Asli di negeri ini berbuat demikian,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 500 penduduk Orang Asli menetap di Kampung Gumum, mereka setiap hari mereka keluar masuk bagi mendapatkan keperluan harian di Kampung Salong dan pekan Chini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nashita Dewi K Paramanantham.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nashita Dewi K Paramanantham berkata, memang menjadi tanggungjawab tok batin mengawal kemasukan orang luar masuk ke kampung itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan.

“Kami sendiri pun tidak keluar dari kampung ini kerana takut dijangkiti wabak COVID-19 apatah lagi jika orang luar mahu masuk tanpa urusan ke kampung ini.

“Langkah ini, bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi demi keselamatan penduduk di kampung ini terdiri daripada lebih 500 keluarga, maka orang luar perlu akur.

“Lebih baik kita beringat awal sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kerana wabak COVID-19 mudah merebak tanpa sebarang tanda, penduduk yang balik ke kampung terlebih dahulu perlu membuat impasan suhu, ” katanya yang mengusahakan perusahaan herba Tongkat Ali.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *